Sekumpulan lelaki yang bergaduh pada Isnin lalu dikatakan berpuca daripada perselisihan faham.

JOHOR BAHRU – Perselisihan faham sekumpulan lelaki menjadi punca pergaduhan menggunakan kayu di hadapan sebuah restoran di Bandar Baru Permas Jaya, dekat sini, pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, susulan kejadian itu, lima lelaki berusia lingkungan 17 hingga 43 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

” Mereka ditahan di empat lokasi berbeza sekitar Johor Bahru antara jam 2.30 petang Selasa sehingga 12.10 tengah malam Rabu.

“Hasil tahanan itu dua telefon bimbit pelbagai jenis dan dua batang kayu rotan. Hasil semakan rekod lampau mendapati empat suspek tidak mempunyai rekod lampau manakala seorang suspek mempunyai dua kes dadah dan satu kes jenayah,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Hasil saringan ujian air kencing suspek didapati negatif sebarang jenis dadah.

Katanya, kelima-lima suspek direman selama sehari pada Rabu mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sebelum ini tular video pergaduhan sekumpulan lelaki yang dikongsi media sosial menerusi akaun Facebook Thye Teng Lim.

Video berkenaan memaparkan sekumpulan lelaki merusuh menggunakan kayu di hadapan sebuah restoran.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini menghubungi hotline IPD Johor Bahru Selatan di talian 016-4831003 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Farra Azreen Hamzah di talian 013-5781125. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast