Antara turut dirampas sebuah bot yang dipercayai digunakan sebagai pengangkutan untuk aktiviti itu,

PONTIAN – 10 individu berjaya ditahan pihak berkuasa Rabu lalu kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan pendatang asing.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, lima daripada individu yang ditahan itu merupakan dua tekong laut, dua tekong darat dan seorang transporter.

Selain itu jelasnya juga, polis turut menahan lima pendatang asing yang cuba keluar masuk ke Malaysia menerusi jalan yang tidak diwartakan.

“Pada jam 11.15, Rabu lalu, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Daerah Pontian bersama Pasukan Polis Marin Wilayah Dua (Kukup) telah menahan dua tekong laut, dua tekong darat dan seorang transpoter dipercayai terlibat dalam aktiviti berkenaan.

“Selain menahan individu tersebut, polis turut merampas sebuah kereta dan bot dipercayai digunakan sebagai pengangkutan dalam aktiviti itu,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.-MalaysiaGazette