TANJUNG MALIM – 17 penumpang sebuah bas ekspres dua tingkat berdepan detik cemas apabila kenderaan yang dinaiki terbakar di kilometer (km) 375.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, Slim River dekat sini, pada Jumaat.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian itu pada jam 5.19 pagi.
Menurut beliau, sejurus selepas itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River dengan bantuan BBP Tanjung Malim diatur gerak ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati bas ekspres berkenaan terbakar pada kadar 80 peratus.
“Kesemua penumpang yang terdiri daripada 14 lelaki dan tiga wanita itu, termasuk dua pemandu telah berjaya keluar dari kenderaan itu sebelum kebakaran merebak.
“Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa direkodkan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Ujarnya lagi, pasukan bomba telah melakukan operasi pemadaman api dengan menggunakan tiga hose reel dan satu aliran bersama satu pancutan 100 kaki yang bersumberkan air dari tangki jentera.
Tambah beliau, difahamkan bas ekspres dua tingkat tersebut dalam perjalanan dari Johor ke utara Semenanjung.
Operasi yang diketuai Komander Operasi JBPM, Pegawai Bomba Kanan (PBK) Isma Mohamad Ubadullah itu tamat pada jam 7.23 pagi. -MalaysiaGazette