PUTRAJAYA – Memorandum Jemaah Menteri Mengenai Mekanisme Penyasaran Subsidi akan dibentangkan kepada Kabinet pada Rabu depan, kata Menteri Ekonomi.
Bagaimanapun, Rafizi Ramli enggan mendedahkan lebih lanjut mengenai mekanisme tersebut sebelum ia diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Berbaloilah kepada rakyat kita. Kerajaan sedang melakukan yang terbaik untuk memastikan supaya penyasaran semula subsidi itu bersasar dan berbaloi kepada kumpulan-kumpulan yang layak menerima,” katanya.
Rafizi berkata demikian dalam sidang media mengenai perkembangan terkini Pangkalan Data Utama (PADU) bersama Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin di Jabatan Perangkaan di sini hari ini.
Beliau menambah, keputusan mengenai kaedah, kumpulan sasar dan jumlah subsidi akan dipertimbangkan oleh Jemaah Menteri.
“Selepas itu, terpulang kepada Perdana Menteri bila beliau akan membuat pengumuman,” jelasnya.
Rafizi juga menjangka jumlah individu yang mendaftar dengan PADU akan meningkat secara mendadak selepas pengumuman berhubung penyasaran subsidi dibuat oleh Perdana Menteri.
“Setakat ini, seramai 1,291,459 individu dewasa telah mendaftar dan jumlah keseluruhan termasuk individu bawah 18 tahun adalah 1,638,342 orang.
“Cabaran adalah meningkatkan pendaftaran secepat mungkin kerana kita ingin memastikan 30 juta orang mengemas kini maklumat dalam PADU,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan mereka yang belum mendaftar dengan PADU agar segera berbuat demikian secepat mungkin.
Rafizi berkata, penjawat awam terutamanya yang muda dan bekerja di bandar sangat digalakkan untuk mendaftar dengan PADU bagi mengelakkan risiko tercicir daripada menerima bantuan kerajaan termasuk subsidi. – MalaysiaGazette