Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir bagi mendengar keputusan permohonan representasi untuk menggugurkan tiga kes pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan dana SRC berjumlah RM27 juta di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 19 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan untuk meneruskan perbicaraan bagi tiga pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM27 juta membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sudah lebih lima tahun tertangguh.

Hakim Mahkamah Tinggi, K Muniandy menetapkan September tahun ini bagi permulaan perbicaraan kes Najib pengubahan wang haram dengan menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM27 juta melalui tiga akaun perbankan AmPrivate miliknya.

Tarikh yang ditetapkan oleh hakim dengan persetujuan kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan ialah antara 17, 18, 19, 23 dan 24 September selama lima hari manakala pengurusan kes pada 12 Mac ini.

Sebelum ini, Najib sudah memohon representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi menggugurkan pertuduhan terhadapnya sekitar Ogos tahun lepas.

Sepatutnya, hari ini diketahui keputusan representasi kes tersebut.

Sebahagian penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang hadir bagi mengikuti keputusan permohonan representasi untuk menggugurkan tiga kes pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan dana SRC berjumlah RM27 juta di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 19 JANUARI 2024.

Bagaimanapun pada hari ini, sekali lagi pendakwaan telah memohon penangguhan kerana memerlukan masa untuk meneliti lagi representasi namun penangguhan itu tidak diberikan oleh hakim.

Sebaliknya Muniandy telah memutuskan perbicaraan akan diteruskan dan sekiranya pendakwaan masih lagi tidak bersedia bagi prosiding itu, maka tindakan dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) ketika itu boleh dimohon oleh tertuduh.

Peguam utama mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee sekali lagi bangkit memohon supaya anak guamnya diberikan DNAA memandangkan pendakwaan mengambil masa begitu lama dengan membiarkan kes tersebut tergantung lebih lima tahun.

Pada 3 Februari 2019, Najib mendakwa dibicarkan atas tiga lagi pertuduhan berkait pengubahan wang haram dengan menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM27 juta melalui tiga akaun perbankan Amprivate miliknya.

Najib didakwa melakukan semua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Kumpulan AmBank, No.55, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014, di bawah Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu berdepan denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-dua jika sabit kesalahan.

Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022, mengekalkan sabitan dan hukuman penjara serta denda RM210 juta terhadapnya, selepas bersalah menyalahguna dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. – MalaysiaGazette