KUALA LUMPUR – Program Sumbangan Asas Rahmah 2024 (SARA 2024) dijangka memanfaatkan lebih 700,000 penerima dengan peruntukan RM700 juta berbanding 210,000 penerima dengan perbelanjaan RM130 juta, tahun lepas.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan subsidi bersasar itu diperluas kepada penerima yang layak yang terdiri daripada golongan rentan.
Tambahnya, kadar bantuan untuk isi rumah juga dinaikkan kepada RM1,200 berbanding RM600 pada tahun 2023.
Kadar untuk golongan bujang bagaimanapun kekal pada RM600.
“Pelaksanaan SARA akan bermula Isnin ini bagi penerima dari Semenanjung Malaysia, manakala penyaluran bantuan tunai untuk penerima dari negeri Sabah, Sarawak dan Labuan akan bermula 19 Februari 2024.
“Bagi penerima program SARA di Semenanjung Malaysia, bantuan SARA akan disalurkan secara bulanan iaitu RM100 sebulan untuk isi rumah dan warga emas tiada pasangan dan RM50 sebulan untuk golongan bujang.
“Bantuan SARA kepada penerima di Sabah, Sarawak dan Labuan pula akan disalurkan dua kali setahun iaitu RM600 untuk isi rumah dan warga emas tiada pasangan dan RM300 untuk golongan bujang pada 19 Februari 2024 dan 12 Ogos 2024 melalui pengkreditan ke akaun bank/secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, turut diperluaskan adalah penggunaan kredit program SARA kepada tiga kategori barangan asas tambahan iaitu barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan.
“Penambahbaikan ini melibatkan peningkatan peruntukan lebih lima kali ganda berbanding tahun lepas.
“Program ini yang bakal dilaksana secara berperingkat bermula 22 Januari 2024, menyasarkan untuk mengangkat taraf ekonomi golongan rentan dan menjunjung prinsip kesaksamaan yang menjadi teras kepada kerangka Ekonomi MADANI.
“Transformasi ekonomi Malaysia bermula dengan mengangkat darjat rakyat. Penambahbaikan program SARA ini merupakan satu langkah awal untuk menangani kesenjangan kekayaan serta membina sebuah masyarakat yang inklusif seperti didambakan dalam kerangka Ekonomi MADANI,” katanya lagi.
Katanya, kelayakan untuk menerima bantuan SARA adalah berasaskan status kategori miskin dan miskin tegar dalam pangkalan data e-Kasih iaitu data rujukan untuk kementerian dan agensi Kerajaan.
Tambah beliau, di bawah program itu, penerima yang layak boleh membeli barang keperluan asas terpilih dengan menggunakan myKAD di kedai-kedai runcit berdaftar.
Anwar berkata, mengambil kira sambutan program SARA yang menggalakkan pada tahun lalu, kerajaan juga meluaskan rangkaian rakan runcit (pasar raya/kedai) yang mengambil bahagian kepada 515 buah (setakat 17 Januari 2024) berbanding 424 buah (tahun 2023) di seluruh negara. – MalaysiaGazette
sudah-2 lah nak membongak je …zaman muhyidin lah sangat tinggi Dan paling banyak bantuan yg di beri pada setiap golongan yang dapat tanpa tercicir….itu lah kenyataan ye…