KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang aktif di Lembah Klang menerusi dua serbuan di buah kondimnium mewah di Cheras dan Kajang pada Selasa dan Rabu lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata, dalam serbuan itu lima lelaki dan seorang perempuan berbangsa Cina ditahan kerana dipercayai terlibat dengan aktivit memproses dan mengedar dadah di pusat-pusat hiburan di sekitar ibu negara.
Katanya, pelbagai jenis dadah ditemui dalam serbuan berkenaan dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM448,850.
“Kita berjaya menemui dadah iaitu 54.550 mililiter dipercayai jus, 1.63 kilogram (kg) serbuk MDMA, 144 gram ketamin, 16 gram ganja, 5 kg serbuk ekstasi, 550 biji pil erimin 5, dan 2,900 biji pil ekstasi.
“Jumlah dadah yang dirampas ini dianggarkan boleh digunakan oleh seramai 27,000 orang penagih,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di sini, hari ini.
Mohd Kamarudin berkata, modus operandi sindiket terbabit adalah menjadikan kondominium mewah sebagai tempat memproses dan menyimpan bekalan dadah dan seterusnya mengedarkan kepada pelanggan yang melakukan hiburan persendirian.
Ujarnya, sindiket itu dipercayai telah mula aktif sejak pertengahan tahun lepas.
Tambah beliau, dengan tertangkap kesemua suspek terbabit, pihaknya percaya telah berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah bagi pasaran tempatan terutama di Lembah Klang.
Katanya lagi, kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek kini direman selama tujuh hari bermula Rabu hingga Selasa depan bagi membantu siasatan.
Tegas beliau, tindakan turut diambil di bawah Akta dadah Berbahaya PelucutHakan Harta) 1988 di mana polis telah menyita pelbagai aset sindiket seperti kenderaan, wang tunai dan barangan kemas yang dianggarkan bernilai RM498,408.
Nilai kesemua rampasan termasuk dadah dan barangan lain adalah berjumlah RM938,258.
Sehubungan itu, Mohd Kamarudin berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah di sekeliling mereka dengan menyalurkan mklumat itu melalui Hotline JSJN di talian 012-2087222. – MalaysiaGazette