KUALA LUMPUR – Tabung Kecemasan Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menggesa rejim Zionis Israel menghentikan pembunuhan terhadap kanak-kanak di Gaza dengan serta-merta.
Timbalan Pengarah Eksekutif UNICEF, Ted Chaiban berkata, kanak-kanak dijadikan sasaran dalam peperangan di Gaza sekali gus menjadikan wilayah itu sebagai tempat yang paling berbahaya di dunia untuk mereka.
“Daripada hampir 25,000 mangsa yang dilaporkan terkorban di Gaza sejak konflik semakin buruk, kira-kira 70 peratus daripada mereka adalah wanita dan kanak-kanak.
“Pembunuhan kanak-kanak mesti dihentikan serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan bagi mengulas mengenai lawatannya selama tiga hari di Gaza.
Chaiban turut menyatakan kebimbangan mengenai krisis kesihatan dan kemanusiaan melibatkan kanak-kanak yang semakin buruk sejak rejim Zionis Israel melancarkan tindakan keganasan di Gaza.
Menurut beliau, sekiranya situasi itu berpanjangan, lebih ramai kanak-kanak yang akan terkorban akibat kebuluran dan penyakit.
“Dua bulan lalu, jumlah kes cirit-birit meningkat 40 peratus berbanding sebelum konflik bermula.
“Menjelang pertengahan Disember, sebanyak 71,000 kes cirit-birit dicatatkan dalam kalangan kanak-kanak berusia di bawah 5 tahun, meningkat lebih 4,000 peratus sejak perang bermula,” jelasnya.
Chaiban turut menggesa agar rejim Zionis Israel membuka sekatan terhadap misi kemanusiaan agar bantuan perubatan dan makanan dapat disalurkan segera kepada pelarian.
“Kita tidak boleh menunggu terlalu lama untuk menyalurkan bantuan kepada mereka serta untuk membantu pembebasan dua kanak-kanak warga Israel yang masih menjadi tebusan di Gaza,” katanya. – MalaysiaGazette