KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga emas ditemui rentung hampir 80 peratus dalam kejadian kebakaran di lorong Jalan SS 22/10, Kelana Jaya, Petaling Jaya awal pagi ini.
Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abd Hamid berkata, pihaknya mendapat panggilan kecemasan daripada orang awam sekitar pukul 3.46 pagi.
Sejurus itu, katanya, sebuah kereta peronda polis (MPV) bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Siasatan awal dilakukan mendapati mangsa adalah seorang wanita lingkungan 60-an yang terbakar kira-kira 80 peratus di badannya dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Kita dapati melalui siasatan dilakukan mendapati terdapat pemetik api serta botol berhampiran mangsa di lokasi kejadian.
“Pihak polis sedang menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi sama ada mangsa membakar dirinya atau ada unsur lain. Kita akan panggil saksi lain bagi bantu siasatan,” katanya.
Tambah Mohamad Fakhrudin, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk proses bedah siasat dan kes tersebut telah diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut setakat ini.
“Satu kertas siasatan mati mengejut dibuka untuk mengenal pasti punca kejadian,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222 bagi membantu siasatan. -MalaysiaGazette