JOHOR BAHRU – Lebih 12,000 jemaah mengimarahkan Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato’ Onn, di sini, pagi ini dalam Program Semarak Subuh.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sejak masjid berkenaan dibangunkan, hari ini merupakan kali pertama solat subuh berjemaah didirikan dua kali berikutan jemaah yang ramai.
“Syukur alhamdulillah, lebih 12,000 jemaah hadir mengimarahkan Program Semarak Subuh Johor.
“Semoga kita terus istiqamah dalam perjuangan menegakkan agama ALLAH SWT,” kata beliau dalam kenyataan, hari ini.
Onn Hafiz turut bersolat jemaah di masjid itu bersama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid serta beberapa pempengaruh seperti Jalil Razak, Acad Rajalawak dan Shahrol Azizie Azmi. – MalaysiaGazette