Datuk Megat Zulkarnain Omardin
Pengerusi BN Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin pada sidang media di Wisma MCA, Jalan Ampang, Kuala Lumpur,

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) tidak berhasrat untuk mengisi jawatan 20 Ahli Majlis Kerajaan Tempatan yang diperuntukkan Kerajaan Perpaduan di Selangor, sebaliknya menyerahkan kesemua kerusi itu kepada Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi BN Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, memandangkan PH mempunyai kekuatan di kawasan bandar, seeloknya jawatan itu diisi dalam kalangan rakan komponen Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, sebagai timbal balas, BN perlu diberi ruang untuk menguasai jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di kawasan luar bandar.

“Kita serahkan semua kerusi Ahli Majlis yang telah ditawarkan kepada BN untuk diisi oleh PH. Bukan kita tolak, kita serah balik, ambillah dengan menghormati bahawa selama ini kita akui PH menguasai kawasan bandar.

“Kita ada 373 Pengerusi JPKK atau ketua kampung di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di mana menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN.

“Keputusan kita Ahli Majlis biar semua PH, ketua kampung biar semua UMNO. PH jaga kawasan bandar, biar UMNO dan BN jaga luar bandar, kawasan kampung itu memang kekuatan UMNO yang sebetulnya,” katanya pada sidang media di Wisma MCA, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan, Exco Selangor, Ng Suee Lim mendakwa BN dan UMNO enggan menerima 20 kerusi Ahli Majlis yang ditawarkan kerana parti Melayu itu menuntut kerusi yang lebih daripada PH.

Dalam pada itu, BN tidak pernah tamak untuk menuntut jawatan Ahli Majlis Kerajaan Tempatan kerana parti itu hanya memenangi dua kerusi dalam Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) lalu.

“Ini bukan soal kita demand, ini bukan soal UMNO tidak sedar diri, tetapi ini soal bila kita bersahabat, bila kita dalam satu pasukan, biarlah rundingan itu dibuat secara semangat persahabatan atau pasukan yang sebenar.

“Bukan hanya datang tuntut kita ambil apa yang tertinggal, kalau kita ambil apa yang tertinggal, itu bukan dalam bentuk persahabatan,” katanya.

Jelasnya, BN dan UMNO tidak terkilan dengan jumlah kerusi sedikit, sebaliknya tindakan Kerajaan Negeri mendahului proses rundingan dengan meneruskan majlis mengangkat sumpah.

“Saya juga rasa agak sedikit terkilan, dalam masa kita sedang berunding, mereka tahu saya akan bawa dalam mesyuarat, tetapi tiba-tiba sehari sebelum kita mengadakan mesyuarat, mereka sudah mengadakan majlis angkat sumpah Ahli-Ahli Majlis di Selangor.

“Pada saya ini tidak berapa tepat. Saya nak beri contoh di Melaka, Kerajaan Negeri Melaka tertubuh bukan selepas PRN15, tapi hasil PRN Melaka di mana BN bertanding secara solo dan kita menang 21 dari 28 kerusi DUN Melaka.

“Melaka ada 79 kerusi Ahli-Ahli Majlis dan di peringkat BN, telah menawarkan 17 kerusi Ahli Majlis, atau 20 peratus, tapi kita di Selangor hanya 7 peratus, di sana (Melaka) 17 peratus.

“Saya difahamkan PH menolak kerana inginkan kerusi lebih. Demi menghormati dan rundingan masih berjalan, sehingga ke hari ini Ahli-Ahli Majlis Melaka tidak lagi dilantik, bermakna sehingga rundingan selesai,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. UMNO kini dikenalpasti hanya MELUKUT. So PH diakui terlalu kuat maka Ketua Kampung hanya diberi kepada UMNO hanya daerah DUN yang mereka menang sahaja. Selainnya PH pasti lebih berpengalaman mengurusnya. UMNO jika nak jaga badan lebih baik diam.

Comments are closed.