Foto: FB Azlan Helmi

KAMPAR – Fosil karang purba pelbagai spesies dianggarkan berusia 300 juta tahun ditemukan di sebuah kawasan seluas 6.9 hektar berdekatan Kampung Changkat Tualang dekat sini.

Beberapa jenis hidupan purba daripada spesies siput laut berkenaan yang sudah lama pupus itu dijumpai sekumpulan penyelidik Persatuan Jurupandu Pelancong Geopark Warisan Alam Semulajadi Perak (GEONAT) yang melakukan penyelidikan di kawasan itu.

Naib Pengerusi GEONAT, Mohd Fadly Md Noor berkata, pihaknya menjelajah kawasan berkenaan selepas melakukan rujukan daripada jurnal lama termasuk rekod pengkaji lama.

“Kami menemukan lebih tiga atau empat jenis fosil daripada kelas Gastropod, Rugosa, Crinoid dan satu lagi fosil karang, apa yang kita boleh katakan di sini paling banyak jenis Gastropod kita jumpa 50 spot yang melekat pada batu-batuan.

“Penemuan in merupakan yang pertama setakat ini pernah dijumpai di Perak khususnya daerah Kinta dan fosil ini ialah hidupan laut kuno yang muncul sejak zaman paleozoik sebelum wujudnya haiwan reptilia purba dinosaur,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Beliau berkata demikian selepas sesi penerangan kepada Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, Mohd Azlan Helmi Helmi yang turut hadir menyaksikan fosil yang ditemukan mereka.

Mohd Fadly berkata, kesemua spesimen yang ditemukan itu masih belum dibawa keluar dari lokasi terbabit dan penemuan itu turut dimaklumkan kepada pihak Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak.

“Semua penemuan masih berada di dalam kawasan ini kerana tanah ini milik kerajaan negeri dan kita belum lagi mengambil sebarang sampel sehingga satu notis keluar daripada pihak JMG barulah pensampelan dibuat dan setiap laporan akan dihantar ke JMG termasuk turut berkait dengan Geotapak Lembah Kinta,” katanya.

Beliau berkata, susulan penemuan itu, pihaknya akan mencadangkan kepada kerajaan negeri agar mewartakan kawasan 6.9 hektar terbabit sebagai tapak warisan geologi bagi melindungi dan memulihara kawasan di sekitar tapak penemuan berkenaan.

“Kita percaya kemungkinan besar lebih banyak fosil sedemikian ada di kawasan ini kerana ia agak luas dan kita akan teruskan pencarian bagi menemukan spesimen atau fosil jenis lain.

“Penemuan hasil penyelidikan itu perlu dipulihara kerana ia turut membabitkan unsur penting dalam menentukan sejarah perkembangan geologi serta proses pembentukan bumi di sini,” katanya.

Mohd Fadly berkata, fosil karang di atas batu kapur puncak dalam air itu membuktikan kawasan berkenaan dahulunya merupakan lautan, namun mengalami proses pembentukan muka bumi sehingga menjadi daratan. – Bernama