Gambar hiasan

KUANTAN – Seorang jururawat sanggup membuat pinjaman bank dan menjual barangan kemasnya untuk dibayar kepada ‘pihak berwajib’ selepas digertak terlibat dalam siasatan kes pengubahan wang haram.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa yang berusia 50 tahun mendakwa dihubungi seorang lelaki pada 26 November 2023 yang memperkenalkan diri sebagai pegawai Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).

“Mangsa menafikan dakwaan itu, namun talian kemudian dikatakan disambungkan kepada seorang anggota ‘polis’ yang menggertak bahawa mangsa akan dikenakan hukuman berat atas kesalahan itu,”katanya dalam kenyataan, hari ini.

Anggota ‘polis’ itu didakwa telah mengarahkan mangsa untuk membuat pemindahan wang ke empat akaun berbeza kononnya bagi tujuan siasatan dan mangsa yang bimbang dikenakan hukuman, telah sedaya upaya memenuhi arahan itu.

Mangsa bagaimanapun membuat laporan di balai polis di Jerantut semalam, selepas sedar ditipu kerana gagal menghubungi suspek bagi bertanyakan perkembangan siasatan.

Namun, mangsa memberitahu telah pun kerugian sehingga RM105,000 diperdayakan sindiket Macau Scam tersebut.

Dalam kes berasingan, seorang pesara mengalami kerugian berjumlah RM260,388 selepas terpedaya sindiket penipuan secara dalam talian.

Berdasarkan laporan, lelaki berusia 55 tahun dari Lipis itu memberitahu berminat menyertai satu skim pelaburan saham patuh syariah yang dijanjikan keuntungan lumayan pada awal Disember tahun lalu.

Yahaya berkata, mangsa telah membuat pemindahan wang sebanyak RM500 dan memperolehi keuntungan sebanyak RM110.

“Selepas itu, suspek meminta mangsa mendaftar di satu portal untuk melihat pergerakan saham.

“Dalam tempoh sebulan bermula 17 Disember lalu, mangsa diminta untuk membayar cukai dan membuka akaun bagi memperoleh wang pelaburan,” katanya.

Berikutan itu, mangsa membuat 14 kali transaksi kepada lima akaun berbeza sehingga mengalami kerugian berjumlah RM260,388.

Katanya, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette