Lelaki mengelar isterinya beberapa kali menggunakan pisau pemotong dalam kejadian di Lebuhraya Shah Alam (KESAS) berhadapan sebuah kondominium di Kota Bayu Emas. - Foto viral

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tempatan bertindak luar dugaan apabila disyaki mengelar isterinya beberapa kali sebelum mencederakan dirinya sendiri di Kota Bayu Emas, Klang semalam.

Dalam satu kenyataan malam tadi, Ketua Polis Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, insiden yang berlaku sekitar 1 petang itu melibatkan pasangan itu bergaduh ketika dalam perjalanan ke sebuah kedai makan menaiki kenderaan jenis Mazda CX5.

Suspek yang berusia 50 itu kemudian bertindak memberhentikan keretanya sebelum mengelar isterinya yang berusia 49 tahun beberapa kali.

“Mangsa yang ketakutan kemudian keluar kereta sebelum meminta bantuan orang ramai manakala suspek pula melarikan diri apabila sebuah kereta berhenti untuk membantu,” katanya.

Kata beliau, kenderaan itu kemudian dikesan berhenti di Jalan Batu Nilam dan anggota polis yang membuat pemeriksaan mendapati suspek dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam kereta.

“Anggota polis terpaksa memecahkan tingkap untuk buka pintu sebelum selamatkan suspek. Dia mengalami luka kelar di kedua-dua belah pergelangan tangan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

“Manakala isteri suspek pula alami kecederaan luka kelar di leher, bahu, tangan kaki dan belakang juga dirawat di hospital yang sama,” ujarnya.

Tambah beliau, kes itu sedang disiasat mengikut Seksyen Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.

Dalam pada itu, Hoon Fong berkata, pihaknya sedang mengesan beberapa video berkaitan kejadian yang tular di media sosial dan menasihatkan orang ramai tidak menularkan atau berkongsi video tersebut. – MalaysiaGazette