Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menganggap pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon sudah melakukan yang terbaik dalam menaikkan nama dan prestasi Harimau Malaya.

Beliau menjelaskan, dalam tempoh dua tahun sejak dilantik untuk berada di kerusi panas itu pada tahun 2022, Pan Gon berjaya membawa perubahan positif buat bola sepak kebangsaan.

Katanya, pencapaian terbaik itu termasuk membawa Malaysia layak ke pusingan akhir Piala Asia secara merit buat kali pertama selepas 42 tahun selain peningkatan kedudukan Malaysia dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

“Kita akan terus bekerja dengan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) secara rapat dan secara peribadi, Pan Gon memang sudah melakukan yang terbaik untuk Malaysia. Dua tahun sahaja berjaya membawa Malaysia melangkah jauh hingga ke ranking 130 dunia.

“Saya yakin dengan strategi beliau dan walaupun ada banyak persoalan dalam media sosial, saya rasa Pan Gon orang yang paling tahu mengenai strategi dan persiapan (pasukan).

“Bagi generasi kita, layak secara merit selepas 42 tahun adalah pencapaian terbaik dan kita harus bangga. Kita tak boleh harapkan Pan Gon dalam dua tahun kita nak menang Piala Dunia, memang tak mungkin. Sebab itu harapan kita perlu realistik, berpijak di bumi yang nyata,” katanya seperti dilaporkan.

Harimau Malaya ketika ini sedang bersaing dalam Piala Asia 2023 di Qatar dan Pan Gon turut menerima kritikan daripada beberapa pihak termasuk penyokong susulan kekalahan 4-0 kepada Jordan dalam aksi pertama Kumpulan E, Selasa lalu.

Selain itu, Hannah yang melakukan kunjungan mengejut ke sesi latihan skuad Harimau Malaya, semalam, menjelaskan pihaknya akan mengkaji mengenai pasukan lawan yang turut berada dalam Kumpulan E sebagai usaha meningkatkan lagi prestasi skuad negara.

Sementara itu, Hannah menyifatkan pemain ke-12 yang datang ke Qatar bagi menyokong pasukan bola sepak negara dalam Piala Asia 2023 sebagai penyokong terbaik dunia.

Malah, Hannah yang memuji pengorbanan penyokong-penyokong Harimau Malaya menjangkakan lebih ramai pemain ke-12 akan hadir menyaksikan aksi Kumpulan E, menentang Bahrain hari ini.

“Saya berada di Doha bagi melihat persiapan skuad Harimau Malaya untuk perlawanan menentang Bahrain esok (hari ini).

“Saya juga menjangkakan orang ramai akan menyokong pasukan negara di stadium esok kerana penerbangan saya penuh dengan penyokong-penyokong.

“Saya rasa skuad Harimau Malaya mempunyai penyokong-penyokong terbaik di dunia kerana yang datang atas kos sendiri dan ambil cuti untuk menyokong mereka,” ujarnya. -MalaysiaGazette