Meneteri Kerja Raya Datuk Sri Alexender Nanta Linggi diberi penerangan mengenai jalan rosak ketika melakukan tinjauan di Jalan Kota Tinggi - Johor Bahru hari ini.

KOTA TINGGI – Kerajaan memperuntukan RM113 juta bagi membaiki jalan dan cerun rosak di negeri yang terjejas akibat Monsun Timur Laut (MTL), baru-baru ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, Johor, Pahang, Kelantan dan Terengganu adalah empat negra yang terjejas dan kerja-kerja pembaikan itu hanya boleh dilakukan selepas MTL berakhir pada Mac depan.

“Permohonan itu telah pun diluluskan. Sebanyak RM55.4 juta diperuntukkan untuk membaik pulih 48 lokasi kerosakan cerun, manakala RM57.6 juta pula diperuntukkan untuk membaik pulih 81 lokasi jalan yang rosak,” katanya selepas meninjau kerosakan jalan cerun di Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, hari ini.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut Johor menerima peruntukan berjumlah RM30.17 juta, Kelantan (RM34 juta), Pahang (RM28.3 juta) dan Terengganu (RM11.3 juta) manakala  bakinya melibatkan beberapa negeri lain.

Sementara itu, Alexander memberitahu, pihaknya akan memohon peruntukan berjumlah RM120 juta bagi menaikkan aras jalan di empat lokasi sepanjang laluan Jalan Kota Tinggi-Mersing.

Katanya, kementeriannya telah meneliti semua lokasi dan mendapati terdapat keperluan untuk dinaikkan aras jalan yang mana ia merupakan penyelesaian jangka panjang.

“Perkara ini akan kita masukkan ke dalam permohonan pada Rancangan Malaysia Ke 12. KKR akan melakukan kajian dan anggaran kos dengan lengkap,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast