Tangkap layar menunjukkan sebuah lori hilang kawalan sebelum merempuh beberapa kereta di persimpangan lampu isyarat Ara Kuda, Tasek Gelugor.

TASEK GELUGOR – Kegagalan brek punca sebuah lori tanpa muatan melanggar tujuh kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Ara Kuda di sini semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Superintendan Siti Nor Salawati Saad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian terbabit pukul 11.15 pagi dan siasatan awalm mendapati lori terbabit sedang dalam perjalanan dari Tasek Gelugor menghala ke Lunas, Kedah.

“Sebaik di lampu isyarat, brek lori itu dikatakan gagal berfungsi dengan baik mengakibatkan pemandu cuba memperlahankan kenderaan dengan bergerak ke kiri dan kanan.

“Bagaimanapun, pemandu lori itu gagal memberhentikan kenderaan tersebut sebelum  merempuh beberapa kenderaan yang berhenti di lampu isyarat tersebut.

Tangkap layar menunjukkan sebuah lori hilang kawalan sebelum merempuh beberapa kereta di persimpangan lampu isyarat Ara Kuda, Tasek Gelugor.

“Impak rempuhan dua buah kenderaan itu menyebabkan kedua-dua kereta itu menyelusur ke hadapan sekali gus melanggar kenderaan lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Siti Nor Salawati, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku namun seorang pemandu kereta mengalami kecederaan ringan.

“Kes disiasat dibawah Peraturan 10, Kaedah Kaedah Lalulintas 1959,” katanya. 

Terdahulu tular satu rakaman video papan pemuka (dashcam) sebuah kereta menunjukkan sebuah lori hilang kawalan sebelum merempuh beberapa kereta ketika semua kenderaan itu berhenti di lampu isyarat. – MalaysiaGazette