Mohd Na'im menyampaikan bantuan kepada penerima mangsa banjir dalam program Misi Bantuan Pasca Banjir Agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Kota Tinggi hari ini.

KOTA TINGGI – Tiga masjid utama akan menggerakkan kempen #GengSubuhMacamJumaat yang dicetuskan selebriti, Alif Satar bermula 27 Januari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, masjid terlibat merupakan masjid di bawah pentadbiran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

“Kempen itu akan diteriskan di Masjid Putra, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Negara.

“Kita akan gerak ke tiga buah masjid ini untuk menyokong sebab masjid yang saudara Alif buat pun di Bukit Damansara juga adalah masjid di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

“Insya-Allah ianya akan berterusan dan akan bergerak ke masjid lain yang akan kita tentukan nanti. Kempen ini diteruskan di peringkat Persekutuan susulan kejayaan kempen ini yang dimulakan selebriti tersebut ditambah pula dengan kejayaan Program Semarak Subuh dianjurkan kerajaan Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Misi Bantuan Pasca Banjir Agensi di Bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Dewan Kampung Sungai Telor di sini hari ini.

Mohd Na’im berkata, program itu akan diteruskan demi kebaikan semua.

“Untuk kebaikan kita mengharapkan sesiapa sahaja dapat melakukan perkara sama. Saya mengharapkan golongan muda dan belia macam Alif Satar dengan pangkat yang dia ada sebagai selebriti mampu membawa anak-anak muda ini (ke masjid),” katanya.

Sementara itu, Mohd Na’im turut mengulas kejayaan menghimpunkan lebih 12,000 jemaah pada Program Semarak Subuh dan kempen #GengSubuhMacamJumaat di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato’ Onn di Johor Bahru baru-baru ini juga merupakan petanda baik untuk semua umat Islam.

Selain itu, beliau mengharapkan ia dapat dikekalkan.

Program Semarak Subuh yang merupakan inisiatif Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz mula dilaksanakan 5 Januari lalu dengan pelaksanaan di 56 kawasan Dewan Undangan Negeri Johor dengan peruntukan berjumlah RM560,000 membabitkan 838 masjid dan 1,942 surau di seluruh Johor.

Sementara itu, kempen #GengSubuhMacamJumaat yang dimulakan Alif sejak Disember lalu juga mula menjadi ikutan ramai dan turut digerakkan pempengaruh lain di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, pihaknya akan menyokong dan mengekalkan tanda pagar #GengSubuhMacamJumaat untuk kempen seterusnya.

“Kita akan berikan sokongan kepada beliau (Alif) sama juga dengan Menteri Besar Johor (Onn Hafiz) dan (Exco Hal Ehwal Agama Johor) Mohd Fared Mohd Khalid serta menyokong usaha-usaha ini di peringkat negeri serta sudah tentu di peringkat persekutuan JAKIM,” katanya.

Dalam majlis sama juga Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengagihkan bantuan sebanyak RM1.54 juta dalam misi pasca banjir menerusi program selama dua hari di negeri ini.-MalaysiaGazette