LONDON – Tuduhan Israel melakukan genosid atau pembunuhan beramai-ramai di Gaza disifatkan sebagai penyongsangan moral yang direka untuk membuka luka peristiwa holocaust terhadap penganut Yahudi.

Ketua Rabbi United Kindom (UK) Ephraim Mirvis turut mendakwa, tuduhan itu bertujuan untuk melakukan ‘kejahatan’ mutlak terhadap negeri orang Yahudi.

“(Genosid) Digunakan bukan sahaja untuk menghapuskan sebarang tanggapan bahawa Israel mempunyai tanggungjawab untuk melindungi rakyatnya tetapi juga untuk merobek luka yang masih ternganga akibat holocaust.

“Mengetahui bahawa ia akan menimbulkan lebih banyak kesakitan daripada tuduhan lain. Ia adalah penyongsangan moral yang melemahkan ingatan tentang jenayah terburuk dalam sejarah manusia,” katanya dalam ruangan pendapat akhbar UK, The Telegraph.

Pendapat yang dikeluarkan menjelang Hari Peringatan Holocaust Antarabangsa, Mirvis berkata, Israel telah meletakkan nyawa askarnya sendiri dalam risiko ketika melakukan operasi darat di Gaza.

Malah menurut beliau, Israel telah memberi orang awam notis awal tentang operasinya selain menjejaskan objektif ketenteraannya.

Afrika Selatan telah mengheret Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas tuduhan genosid terhadap rakyat Palestin.

Afrika Selatan memfailkan kes itu pada Disember menuduh Israel melakukan genosid terhadap rakyat Palestin di Gaza dan meminta ICJ mengeluarkan langkah sementara untuk melindungi rakyat Palestin, termasuk menyeru Israel segera menghentikan serangan.

Pemfailan setebal 84 muka surat oleh Afrika Selatan mengatakan Israel melanggar Konvensyen Genosid 1948, yang dibuat selepas Perang Dunia II dan Holocaust.

Israel membunuh lebih daripada 24,000 rakyat Palestin di Gaza sejak 7 Oktober dan kempen ketenteraan itu juga menyebabkan pemindahan besar-besaran, kemusnahan dan kelaparan.

Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) isitu Blok 57 anggota termasuk Arab Saudi, Iran, Pakistan dan Maghribi, menyuarakan sokongan mereka terhadap kes itu pada 30 Disember.

Malaysia dalam satu kenyataan dikeluarkan pada 2 Januari lalu menerusi Kementerian Luar Negeri turut mengalu-alukan permohonan Afrika Selatan berkenaan.

Ia mengulangi seruan untuk sebuah negara Palestin merdeka berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.- Agensi