KUALA LUMPUR – Sebanyak tujuh laluan di sekitar Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves akan ditutup bermula jam 10 malam ini bersempena sambutan Thaipusam yang akan disambut Khamis ini.
Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, ua bagi memastikan kelancaran aliran kenderaan di sekitar kuil tersebut.
“Notis pemakluman umum mengenai penutupan jalan-jalan sekitar Batu Caves akan dikemaskini menerusi laman web rasmi polis kontinjen Selangor dan papan iklan elektronik dari arah Bulatan Batu Caves menghala ke Gombak serta Facebook rasmi IPD Gombak,” katanya dalam sidang media Op Palu di perkarangan kuil Batu Caves, hari ini.
Tujuh jalan yang terlibat adalah Simpang Tiga Jalan Bunga Raya menghala ke Jalan Batu Caves, Lampu Isyarat Jalan Stesen (Batu Caves Bypass), Susur dari arah Bulatan Batu Caves MRR2 menghala ke kuil Batu Caves dan Susur dari arah Gombak (MRR2) menghala kle kuil Batu Caves.
Simpang Tiga Jalan SBC 8/Jalan Lama Batu Caves, Jalan Perusahaan menghala ke Kuil Batu Caves dan Simpang Tiga Lampu Isyarat Sri Batu Caves menghala keluar ke MRR2.
Beliau menyarankan orang ramai memanfaatkan perkhidmatan pengangkutan awam untuk ke Batu Caves dan mengambil langkah berjaga-jaga terhadap barang berharga ketika berkunjung ke Batu Caves.
Sementara itu, seramai 1,600 orang pegawai dan anggota dari kontinjen Selangor dan Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah IPD Gombak diatur gerak bagi memastikan keselamatan dan kelancaran lalu lintas di kawasan terbabit.
“Berdasarkan maklumat tahun lepas, seramai 1.5 juta pengunjung menjayakan sambutan Thaipusam dan untuk kali ini kita dimaklumkan oleh pengurusan kuil bahawa seramai 2 juta pengunjung pada sambutan kali ini.
“Bagi memastikan ketenteraman dan keselamatan para penganut serta pengunjung terdiri daripada tempatan dan pelancong asing, polis akan menguatkuasakan undang-undang menjamin keselesaan penganut dan sambutan berjalan lancar,” ujarnya. – MalaysiaGazette