KUALA LUMPUR – Sebuah bot nelayan tempatan yang menggaji kru nelayan asing tanpa dokumen ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (MaritimMalaysia) Negeri Selangor pada jam 8 pagi semalam.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, bot nelayan tempatan kelas C bersama empat nelayan asing itu telah ditahan ketika sedang leka menangkap ikan pada kedudukan kira-kira 9.8 batu nautika barat daya Sungai Tengkorak Selangor.
“Bot itu dikendalikan oleh seorang tekong bersama tiga kru warga Indonesia berumur dalam lingkungan umur 37 hingga 52 tahun.
“Mereka ini tidak mempunyai dokuman pengenalan diri sah serta beroperasi kurang dari 15 batu nautika dari daratan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, mereka ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah.
Siasatan juga dijalankan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu melakukan aktiviti menangkap ikan kurang dari 15 batu nautika dari daratan serta menggaji warga asing tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
“Kesemua nelayan, bot dan hasil tangkapan berserta peralatan menangkap ikan disita dan dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut,” ujarnya. – MalaysiaGazette