Mohamad Faisal Abdul Halim

DOHA – Kekalahan saat-saat akhir kepada Bahrain memberi kesan yang besar kepada skuad Harimau Malaya dengan pemain sayap sensasi Mohamad Faisal Abdul Halim mempunyai sebab tersendiri sukar untuk melupakan perlawanan itu.

Faisal berkata, pada aksi kedua Kumpulan E di Stadium Jassim bin Hamad itu beliau memiliki satu peluang untuk menjaringkan gol pada separuh masa pertama yang mungkin mampu mengubah keputusan akhir perlawanan.

“Setiap perlawanan saya nak jaringkan gol. (Semasa) lawan Bahrain saya ada peluang nak jaringkan gol tapi saya nampak Paulo (Paulo Josue) ada ruang yang lebih baik tetapi bila tengok balik rakaman perlawanan saya mampu (sebenarnya) membuat rembatan.

“Tapi situasi dalam padang lain berbanding sudut pandangan dalam televisyen. Kesal memang kesal tetapi saya rasa keputusan membuat hantaran kepada Paulo adalah pilihan yang terbaik ketika itu,” katanya ketika ditemui di hotel penginapan pasukan di sini, hari ini.

Pemain Selangor FC berusia 26 tahun itu berkata demikian ketika ditanya adakah beliau memasang impian untuk menjaringkan gol apabila bertemu juara dua kali Korea Selatan pada aksi terakhir kumpulan di Stadium Al Janoub di sini, Khamis ini.

Sementara itu, beliau yang diturunkan dalam kesebelasan utama pada dua aksi sebelum ini berkata para pemain berada dalam kesedihan dan kecewa susulan kekalahan kepada Bahrain yang menyaksikan skuad Dilmun’s Warriors berjaya mencipta jaringan pada penghujung masa kecederaan babak kedua.

Namun, katanya, semangat pemain tetap utuh untuk menghadapi Korea Selatan biarpun di atas kertas skuad Taegeuk Warriors memiliki segala kelebihan untuk mengutip tiga mata.

“Ia bukan perlawanan yang mudah, kita lawan dengan pasukan yang bermain di Piala Dunia. Di atas kertas sudah tentu kita kalah tetapi sebagai pemain siapa mahu kalah,” katanya.

Ini merupakan pertembungan kedua Malaysia dan Korea Selatan di peringkat kumpulan Piala Asia selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada edisi 1980 di Kuwait dengan bekas penyerang Zulkifli Hamzah menjaringkan gol penyamaan.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu dalam perlawanan kompetitif adalah pada pusingan kelayakan Piala Dunia yang menyaksikan Malaysia tumpas 0-3 pada 1989. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast