Tentera Israel meratapi kematian rakan mereka di Gaza.

BAITULMAQDIS – Seorang askar Israel yang baru pulang dari Semenanjung Gaza, dilaporkan menembak seorang rakannya hingga mati di Tel Aviv.

Menurut media Israel, Channel 12, mangsa yang berusia 25 tahun telah ditembak di rumahnya pada Sabtu lalu.

Jpost yang melaporkan insiden itu turut memberitahu, lelaki tersebut seorang askar simpanan dan mengalami episod gangguan tekanan pasca trauma (PTSD) selepas menjalankan operasi ketenteraan di Gaza.

“Penjenayah itu membawa senjata berlesen,” kata laporan itu tanpa memberikan butiran lanjut.

Insiden itu berlaku di sebuah apartmen di Menachem Begin Street sambil menambah  mangsa pada mulanya cedera dan kemudian meninggal dunia akibat kecederaan parah.

Terdahulu pada bulan Disember, Israel Haaretz melaporkan 18 peratus askar yang mengambil bahagian dalam pencerobohan di Gaza mengalami masalah kesihatan mental dan PTSD.

Bulan lalu, seorang askar Israel yang pulang dari operasi di Gaza mencederakan anggota unitnya apabila dia tersedar dari mimpi ngeri dan mula melepaskan tembakan.

Awal bulan ini, laman web Israel, Walla, menerbitkan satu siasatan yang mengatakan 1,600 askar dan pegawai Israel mengalami trauma selepas pulang dari wilayah Palestin itu.

Agensi berita itu juga melaporkan sekurang-kurangnya 4,000 tentera Israel menjadi cacat akibat kecederaan selepas bertempur di Gaza.

Laman berita itu melaporkan bahawa tentera Israel “tidak memberikan semua data mengenai mereka yang cedera kepada orang ramai, kerana bimbang ia akan menurunkan semangat rakyat”.

Menurut angka rasmi Israel 531 tenteranya mati selepas 7 Oktober walaupun jumlah itu mungkin lebih tinggi.

Serangan tentera Israel ke atas Gaza telah menyebabkan lebih 25,000 penduduk Gaza kebanyakannya bayi, kanak-kanak dan wanita mati.

Ribuan yang lain hilang dan dipercayai telah mati dan berada di bawah runtuhan bangunan yang dibom oleh Israel.-Agensi