GOPENG – Seramai 36 pelajar Bacelor Sains Taman dan Rekreasi, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM) menyantuni golongan orang kurang upaya (OKU) dalam sukan air lasak menerusi penganjuran program Rekreasi Inklusif di RiverBug, Perak, di sini, baru-baru ini.
Pengarah program, Muhammad Fakhrul Azim Muhammad Nizam berkata, program tersebut melibatkan penyertaan lima peserta Orang Kurang Upaya (OKU).
“Program ini diadakan bagi memberi pendedahan aktiviti rekreasi lasak kepada golongan tersebut selain meningkatkan kemahiran pelajar untuk menyantuni OKU sewaktu berekreasi.
”Program ini juga bertujuan meningkatkan nilai inklusif dalam kalangan masyarakat terhadap semua individu.
“Ini merupakan pengalaman yang berharga bagi kami semua dalam menyantuni peserta OKU bersama orang awam yang kami terima melalui persatuan OKU,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, penganjuran program itu adalah amali bagi dua kursus iaitu kursus Rekreasi Terapeutik bagi Golongan Istimewa dan kursus Pengurusan Risiko dalam Rekreasi.
Sementara itu, Pensyarah Jabatan Rekreasi dan Ekopelancongan, UPM, Dr Mohd. Aswad Ramlan berkata, langkah untuk melibatkan golongan OKU dalam aktiviti rekreasi dapat membina jambatan untuk memastikan setiap individu tanpa mengira kekurangan berasa diterima dan dihargai dalam masyarakat.
Beliau yang juga penyelidik dalam bidang rekreasi terapeutik di UPM menjelaskan, aktiviti rekreasi bukan semata-mata tentang keseronokan, ia juga merupakan medium kepekaan masyarakat terhadap kepelbagaian individu dalam komuniti.
“Dengan mengambil langkah kecil untuk melibatkan pelajar OKU dalam aktiviti rekreasi, ia bukan sahaja memberi peluang yang sama kepada mereka, tetapi juga membina kelompok masyarakat yang Madani, inklusif dan bertanggungjawab.
“Langkah ini penting dalam membangunkan kesedaran masyarakat terhadap keperluan OKU dan membuka ruang bagi mereka untuk terlibat secara aktif dalam kehidupan komuniti,” ujarnya.
Tambah beliau, penganjuran program tersebut juga secara tidak langsung menyokong Pelan Strategik UPM 2021-2015 Matlamat 1 iaitu melahirkan watak graduan berdaya tahan mendepani cabaran mendatang. – MalaysiaGazette