Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang suri rumah tangga berumur 46 tahun kehilangan RM4,000 selepas melakukan klik pada satu pautan yang didakwa dihantar oleh pejabat pos untuk membetulkan alamat.

Mangsa tersebut berkata, dia melakukan pengeposan bungkusan di pejabat pos pada 13 Januari kerana mahu menukar baju yang tersilap saiz.

Pada keesokan harinya,  mangsa telah menerima satu pautan yang didakwa dihantar oleh pejabat pos untuk membetulkan alamat penerima yang tidak lengkap.

“Disebabkan ingat diri tersilap semasa menulis alamat, maka saya klik pautan yang dihantar dan mengisi maklumat peribadi. Saya juga diminta menjelaskan yuran pos sebanyak RM1.30.

“Yang saya dapati adalah proses penghantaran kata laluan satu kali (OTP) mengambil  masa yang lama sehingga saya perlu melakukannya dua kali kerana kata laluan akan menjadi tidak sah kalau melebihi masa.

“Apabila berasa curiga, saya segera  menamatkan transaksi.  Apabila membuka aplikasi perbankan, sebanyak RM4,000 telah dipindahkan melalui dua transaksi,” katanya kepada China Press.

Ujarnya, walaupun pihak bank dihubungi, tetapi sudah terlalu lambat untuk membatalkan pindahan oleh scammer.

Mangsa bagaimanapun mempersoal bagaimana scammer boleh mengetahui dia telah mengepos barang, sehingga menipunya pada keesokan hari selepas berkunjung ke pejabat pos.

Sebelum ini, seorang warga China yang belajar di Malaysia juga tertipu melalui scam yang serupa.

Pelajar itu dilaporkan cuba mendapat pengesahan terlebih dahulu daripada staf selepas menerima pautan yang didakwa berasal dari pejabat pos.

Namun disebabkan kelalaian staf yang tersilap mengesahkan pautan scam, pelajar itu kehilangan kira-kira RM2,100.
Pihak pejabat pos dilaporkan China Press telah meminta maaf kepada mangsa. – MalaysiaGazette