Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay menunjukkan pada sidang media mengenai suspek 'geng Upik' di Menara 1, IPD Bukit Aman. Foto SYADILA AMARI, 23 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memperhebatkan usaha memburu lapan lagi suspek termasuk seorang bekas anggota polis yang disyaki ahli sindiket dadah terbesar Geng Upik di Sabah.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, suspek-suspek yang sangat dikehendaki itu telah dikenal pasti identitinya sebagai Haibil Kiraman (Haibil), 48, yang merupakan bekas anggota polis yang bersara pada November 2021.

Kali terakhir suspek dilihat di daerah Tawau.

Manakala lagi suspek yang sedang giat diburu itu adalah dikenali sebagai Sahairul Din Sabudin (Bantayan) dan Absar Musa (Absar) dan kedua-duanya berusia 37 tahun.

Sementara itu, lima lagi suspek yang kita sedang buru adalah terdiri daripada empat warga Filipina iaitu Hasan Syamsuddin (Nas Botak); Joel Edwin (Dedek); Muhammad Sing Harun Musa (Thambi) dan Manan Ungok(Mike) dan seorang wanita warga Indonesia bernama Rohani Mohd. Yunus dengan panggilan Karisa.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas yang diadakan di Menara 1 Bukit Aman di sini hari ini.

Bekas anggota polis antara lapan lagi anggota Geng Upik yang kuat diburu polis ekoran penumpasan sindiket kartel dadah terbesar di Sabah Disember lalu.Sumber Bukit Aman PDRM

Tambah Ayob, pihaknya mendapati kesemua individu itu dipercayai terlibat dalam sindiket dadah, Geng Upik dan kali terakhir dilihat di sekitar Sabah.

Sehubungan itu, mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan lapan suspek diburu itu diminta menyalurkan kepada balai polis berhampiran untuk membantu polis menjejaki dan menangkap mereka bagi tindakan lanjut.

Semalam, seramai 11 ahli sindiket dadah terbesar Sabah itu termasuk ketua sindiket yang bergelar Datuk yang berselindung sebagai penaung sebuah badan bukan kerajaan telah didakwa di mahkamah di Sabah.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Kota Kinabalu mengikut Seksyen 130 V (1) Kanun Keseksaan, Akta 574 dan boleh dihukum mengikut seksyen yang sama.

Berdasarkan pertuduhan, masing-masing terduduh didakwa melakukan kesalahan bermula 2015 hingga 24 Disember tahun lalu.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nazran Mohd Sham di hadapan Hakim Noor Hafizah Mohd Salim.

Bagaimanapun tiada pengakuan dirakam terhadap tertuduh, manakala sebutan semula ditetapkan pada 1 Mac depan sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Pada 25 Disember lalu, polis menahan ahli perniagaan bergelar datuk yang mendalangi sindiket pengedaran dadah terbesar di Sabah menerusi siri serbuan yang dilakukan polis Bukit Aman.

Sindiket berkenaan juga dikesan melakukan pengubahan wang haram melalui pelbagai perniagaan mewah yang dijalankan ahli sindiketnya termasuk syarikat minyak dan gas serta rangkaian restoran. – MalaysiaGazette