JERTIH – Pengarah syarikat Malee Beach Resort Sdn Bhd didenda RM150,000 oleh Mahkamah Sesyen Besut, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah membina bangunan tanpa kebenaran sehingga ia runtuh dan menyebabkan kematian dua orang pekerjanya pada 9 November tahun lepas.

Tertuduh, Lee Boon Han, 55, mengaku bersalah di hadapan Hakim Ahmad Fadhli Mahmud.

Pertuduhan terhadap Lee adalah mengikut Seksyen 34B (1) (c), Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Akta 520) dibaca bersama Seksyen 34D (1) akta yang sama, iaitu boleh didenda RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut kertas pertuduhan, Lee didakwa mendirikan bangunan resort di Pulau Perhentian itu menggunakan lukisan konsep oleh pelukis bebas yang tidak boleh digunakan dalam apa-apa projek pembinaan dan tidak mempunyai perakuan daripada perunding bertauliah.

Bangunan yang dibina Lee sebagai kontraktor itu juga didapati tidak mendapat kelulusan pembinaan dan kebenaran merancang daripada Majlis Daerah Besut, selain gagal melaksanakan siasatan tanah di tapak pembinaan terbabit.

Kertas pertuduhan juga antara lain menyebut Lee tidak menyediakan laporan kesan alam sekitar bagi projek, mengambil penyelia tapak tidak kompeten termasuk mengupah pekerja tidak mahir yang tidak mempunyai perakuan kemahiran dan akreditasi daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

Pegawai pendakwa daripada CIDB, Muhammad Hafidz Hassan berkata, ekoran itu, Lee telah menyebabkan keseluruhan bangunan tiga tingkat yang dalam pembinaan itu runtuh dan menghempap tujuh orang pekerja sehingga mengakibatkan dua pekerja warga Indonesia iaitu Suparo dan Fathul Munir maut dalam kejadian antara pukul 1 hingga 5 pagi itu.

Oleh itu, Muhammad Hafidz berkata, tertuduh wajar dikenakan hukuman yang berat memandangkan insiden itu berhubung kait dengan isu kepentingan awam kerana bangunan resort berkenaan sekiranya siap akan digunakan oleh orang ramai.

“Tertuduh bernasib baik kejadian itu berlaku sewaktu tempoh pembinaan dan bukan selepas ia siap dibina di mana risikonya jauh lebih besar.

“Seksyen 34B juga telah dipinda oleh Parlimen pada 2011 sehingga denda dinaikkan daripada RM100,000 kepada RM500,000 memandangkan isu ini adalah isu kepentingan awam yang diberi perhatian serius oleh kerajaan demi melindungi masyarakat dan pekerja,” katanya.

Sementara itu, peguam Hayder Yazid yang mewakili Lee memohon untuk anak guamnya diberikan hukuman lebih ringan kerana pengakuan bersalah Lee telah menjimatkan masa perbicaraan mahkamah selain kesalahan terbabit merupakan kesalahan pertamanya.

Hayder berkata, Lee turut mengambil tanggungjawab dengan menanggung kos rawatan lima mangsa yang cedera selain kos penghantaran jenazah Suparo dan Fathul Munir ke Indonesia  berjumlah RM44,300.

Lee kemudiannya membayar denda berkenaan kira-kira pukul 11.20 pagi tadi sebelum meninggalkan kompleks mahkamah.

Dalam kejadian pada 9 November lepas itu, sebuah bangunan restoran tiga tingkat yang dalam pembinaan di sebuah resort di pulau peranginan itu tiba-tiba runtuh dan menghempap tujuh pekerja binaan termasuk seorang warga tempatan yang ketika itu sedang tidur.

Lima mangsa terselamat manakala dua lagi terkorban akibat insiden itu. – Bernama