Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay. Foto SYADILA AMARI, 23 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR- Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat ini berjaya melakukan sitaan pelbagai jenis hartanah, kenderaan mewah, barangan kemas dan wang tunai milik sindiket pengedaran dadah terbesar di Sabah dengan keseluruhan nilainya mencecah RM9.72 juta.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua harta yang dirampas dari kartel dadah terbesar Sabah itu bagaimanapun disita dan dibekukan serta merta susulan tangkapan seramai 11 ahli sindiket Geng Upik termasuk dalang utama yang bergelar Datuk yang juga penaung badan bukan kerajaan (NGO).

Menurutnya, tindakan sitaan dan pembekuan aset itu dilakukan menerusi Op Morava yang dijalankan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.

“Hasil operasi berkenaan, sebanyak 42 akaun bank milik sindiket itu berjaya dibekukan bagi tempoh 27 Disember lalu sehingga 19 Januari 2024 termasuk lapan akaun terbaharu yang dibekukan dengan keseluruhannya bernilai RM1.86 juta.

“Kita juga membekukan 10 jentera dan 11 bidang tanah milik sindiket berkenaan yang keseluruhan bernilai RM2.81 juta,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Selain itu, tambah Ayob Khan, sitaan turut melibatkan 20 kenderaan dianggarkan bernilai RM6.77 juta, wang tunai RM35,041 dan barang kemas bernilai RM100,000 disita PDRM membabitkan keseluruhan sitaan berjumlah RM6.91 juta.

Ia sekaligus membawa jumlah keseluruhan sitaan bernilai RM9.72 juta.

Pada 8 Januari lalu, Ayob memaklumkan  sebanyak 22 akaun bank yang telah dibekukan polis adalah bernilai RM420,000 manakala 18 kenderaan disita bernilai RM6.6 juta yang kebanyakannya kenderaan mewah dipercayai daripada suspek Geng Upik selain mempunyai rangkaian dadah antarabangsa.

Kata beliau, pihaknya turut merampas wang tunai RM35,000 serta barang kemas dan jam mewah dianggarkan RM100,000.

Pada Isnin, seramai 11 individu termasuk ketua sindiketnya seorang bergelar Datuk didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Upik di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Sabah.

Kesemua individu itu didakwa melakukan kesalahan itu di Kota Kinabalu mengikut Seksyen 130 V (1) Kanun Keseksaan, Akta 574 dan boleh dihukum mengikut seksyen yang sama.

Berdasarkan pertuduhan, masing-masing terduduh didakwa melakukan kesalahan bermula 2015 hingga 24 Disember tahun lalu.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nazran Mohd Sham di hadapan Hakim Noor Hafizah Mohd Salim namun tiada sebarang pengakuan direkodkan terhadap tertuduh sebelum mahkamah menetapkan 1 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pada 25 Disember lalu, polis menahan ahli perniagaan bergelar datuk yang mendalangi sindiket pengedaran dadah terbesar di Sabah menerusi siri serbuan yang dilakukan polis Bukit Aman.

Lelaki itu turut menaungi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi melindungi kegiatan haram sejak 2015.

Sindiket berkenaan juga dikesan melakukan pengubahan wang haram melalui pelbagai perniagaan mewah yang dijalankan ahli sindiketnya termasuk syarikat minyak dan gas serta rangkaian restoran. – MalaysiaGazette