Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis telah memulakan siasatan terhadap penganjuran Himpunan Penyerahan Memorandum Rakyat di hadapan Istana Negara yang diadakan hari ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan perhimpunan itu yang diadakan di Pintu 2, Istana Negara pagi tadi.

Katanya, penyerahan memorandum telah diserahkan oleh empat individu kepada Ketua Komunikasi Korporat Istana Negara.

“Sepasukan polis daripada IPD Brickfields telah ke lokasi dan mendapati terdapat lebih kurang 700 orang daripada Penyokong Parti Islam SeMalaysia, NGO dan orang awam sedang berkumpul di dalam perhimpunan tersebut.

“Dalam kejadian ini didapati beberapa peserta perhimpunan telah mempamerkan sepanduk bertulis “Rakyat Bersama Hemat Yang Di-Pertuan Agong” dan seramai empat individu telah dikenalpasti memberi ucapan dalam perhimpunan ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun tambah beliau, tiada tangkapan dan rampasan dilakukan ke atas peserta perhimpunan itu.

Amihizam memberitahu, perhimpunan tersebut diadakan tanpa notis atau pemakluman bertulis kepada Ketua Polis Daerah Brickfields.

“Satu laporan polis telah dibuat berkenaan penyerahan memorandum ini dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Pemberitahuan Perhimpunan),” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Allaudeen Abdul Majid memberitahu, polis akan memanggil pihak yang bertanggungjawab menganjurkan perhimpunan tersebut bagi membantu siasatan.

Beliau yang dihubungi MalaysiaGazette berkata, pihaknya meneliti rakaman video dan foto untuk mengenal pasti mereka yang terlibat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast