Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Pengerusi MPOB Datuk Mohamad Helmy Othman Basha menanam pokok sawit baka PS 1.1 di perkarangan MPOB. Turut memerhatikan ialah Ketua Pengarah MPOB Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir (Tengah).

KUALA LUMPUR – Industri sawit Malaysia dijangka kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara pada tahun ini dengan memberi sumbangan yang
signifikan kepada pasaran minyak dan lemak global.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, walaupun bergelut dengan cabaran besar di dalam dan luar negara termasuk kekurangan tenaga kerja, keadaan cuaca yang tidak menentu, kebimbangan isu alam sekitar, pergolakan geopolitik, dan peralihan dasar perdagangan, prospek pasaran minyak sawit kekal optimistik.

Menurutnya, prospek positif turut didorong oleh jangkaan permintaan minyak sawit yang kukuh daripada destinasi utama pada tahun 2023 seperti India (2.8 juta tan pada nilai RM10.9 bil atau 17.4%), China (1.5 juta tan pada nilai RM5.7 bilion atau 9.1%) dan Kesatuan Eropah (1.1 juta tan pada nilai RM4.6 bilion atau 7.4%).

“Permintaan minyak sawit global akan meningkat seiring dengan peningkatan populasi dunia. Mengambil kira sumber yang terhad, Malaysia sebagai negara pengeluar sawit kedua terbesar di dunia mestilah mengambil peluang ini dengan meningkatkan produktiviti dan pengeluaran.

“Isu keterjaminan makanan yang dihadapi oleh dunia pula, mendesak negara-negara seperti Malaysia untuk meningkatkan produktiviti bagi penghasilan agrikomoditi bagi memenuhi permintaan yang semakin tinggi,” katanya ketika berucap sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) 2023.

Johari berkata, kerajaan bertekad untuk memastikan daya maju ekonomi industri sawit berkekalan bagi masa yang akan datang.

“Dalam sebulan lebih saya di Kementerian ini, antara fokus utama saya untuk bertemu dengan semua pemegang taruh dalam sektor ini untuk mendengar, mengenal pasti dan menyelesaikan isu-isu khusus yang memberi kesan kepada prestasi sawit negara.

“Selain isu tenaga kerja yang merupakan fokus utama para pemain industri, isu-isu seperti pengurusan ladang, penanaman semula sawit dan penuaian buah berjadual wajar dititikberatkan,” tambahnya.

Katanya, usaha-usaha penyelidikan dan pembangunan, atau R&D, berpotensi untuk meningkatkan produktiviti industri sawit secara keseluruhan.

Seterusnya,  mekanisasi dan automasi juga dapat meningkatkan kecekapan dan produktiviti buruh secara keseluruhan.

Dalam usaha mengecilkan jurang penyelidikan antara pemain industri dan para penyelidik, kerajaan telah mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan Konsortium Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi Sawit (MARCOP) untuk menggalakkan industri sawit bergerak ke arah amalan mekanisasi dan automasi yang lebih meluas serta memastikan kemampanan dan daya saing untuk jangka masa panjang.

Beliau turut menggalak para penyelidik MPOB bekerjasama erat dengan penggiat industri dan pihak berkepentinga untuk menjana idea-idea inovatif dalam bidang teknologi mekanisasi, malah untuk memastikan teknologi yang dibangunkan ini sesuai diaplikasikan di ladang.

Pendekatan ‘one-size-fits-all’ tidak boleh digunakan dalam industri ini disebabkan oleh persekitaran geografi sebenar di ladang yang sangat mencabar – amat berbeza daripada persekitaran terkawal seperti di makmal.

Johari turut menekankan aspek pengkomersialan dan kemahiran pemasaran bagi projek-projek R&D di bawah MPOB supaya pihak industri dan pekebun kecil dapat memanfaatkan usaha-usaha baik MPOB sepenuhnya.

“Penglibatan aktif dan sumbangan kreatif anda adalah penting untuk membentuk masa depan yang sejajar dengan matlamat dan aspirasi negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast