GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang menasihatkan orang ramai agar tidak memakai barang kemas berlebihan sehingga menarik perhatian penjenayah ketika menghadiri perayaan Thaipusam bermula esok.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, langkah itu bagi mengelakkan sebarang kejadian jenayah sekali gus memastikan upacara perayaan itu berjalan dengan lancar.
Jelas beliau, larangan bermain mercun turut dikuat kuasakan ketika perayaan tersebut.
“Untuk rekod, sepanjang tempoh perayaan Thaipusam tahun lepas sebanyak lapan kertas siasatan dibuka membabitkan kes kehilangan barang kemas, akta pertubuhan dan lain-lain jenayah.
“Sehubungan itu, kita nasihatkan orang ramai agar mengelak daripada memakai barang kemas berlebihan selain mematuhi segala peraturan yang ditetapkan.
“Tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap mereka yang didapati gagal mematuhi arahan yang ditetapkan pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Razlam turut memaklumkan beberapa laluan utama di sekitar George Town akan ditutup secara berperingkat bermula tengah malam ini sehingga Jumaat ini bagi memberi laluan perarakan pedati emas dan perak ke Kuil Air Terjun.
Antara jalan yang terlibat adalah Jalan Kebun Bunga, Jalan Gotlieb, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Utama, Jalan Mecalister, Jalan Victoria dan Lebih Cambell.
“Pedati emas akan bergerak pada jam 5.30 pagi esok dari Lebuh Queen ke Kuil Air Terjun manakala pedati perak pula akan bergerak sejam kemudian dari Lebuh Penang.
“Bagi perjalanan balik, pedati emas akan bergerak jam 6 petang pada hari Jumaat dan diikuti pedati perak sejam kemudian.
“Kita jangkakan lebih satu juta pengunjung akan hadir meraikan Thaipusam di negeri ini bermula esok hingga Jumaat, jadi orang ramai diminta merancang perjalanan bagi mengelakkan terperangkap dalam kesesakan jalan raya,” katanya.
Tambah beliau, seramai 1,289 pegawai dan anggota digerakkan untuk mengawal situasi sambutan dan memastikan kelancaran serta keselamatan orang ramai. – MalaysiaGazette