Logo UPM

KUALA LUMPUR – Universiti Putra Malaysia (UPM) menjelaskan artikel kertas kerja ‘The Jongs and The Galleys: Traditional Ships of The Past Malay Maritime Civilization’  disenaraikan dalam pangkalan data ERA mempunyai polisi blind peer reviewed, refereed journal.

Ia bermaksud jurnal kajian ini telah disemak oleh pakar dalam bidang, yang tiada kaitan dengan penyelidik bagi mengelakkan konflik kepentingan untuk mengesahkan
dapatan kajian.

“UPM memandang serius dakwaan yang ditujukan kepada universiti. Oleh kerana penyelidikan ini adalah bersifat akademik, UPM berpandangan adalah wajar isu ini dibincangkan dalam ruang akademik.

“Juga harus dipertimbangkan bahawa bidang sains sosial dan kemanusiaan adalah terbuka kepada interpretasi untuk pelbagai tafsiran yang mana ia adalah amalan baik
untuk kajian seperti ini bagi tujuan penambahbaikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut universiti itu, UPM komited memelihara martabat pendidikan tinggi serta meneruskan integriti dalam aktiviti penyelidikan ilmiah dan penerbitan akademik.

Semalam, seorang ahli sejarah Perancis mendakwa dua ahli akademik UPM telah silap mengemukakan fakta sejarah berkaitan sejarah maritim Melayu dan mempersoalkan kredibiliti jurnal akademik yang diterbitkan.

Dalam hantaran di Facebook, Serge Jardin, menamakan Rozita Che Rodi dan Hashim Musa kedua-duanya ahli akademik itu sebagai pengarang kertas kerja bertajuk ‘The Jongs and The Galleys: Traditional Ships of The Past Malay Maritime Civilization’ yang diterbitkan dalam Jurnal Antarabangsa Penyelidikan Akademik dalam Perniagaan dan Sains Sosial, Vol.13, Isu 11, 2023.

Jardin mendakwa, imej yang digunakan dalam kertas kerja itu menunjukkan model Jong Melayu (sejenis kapal layar yang berasal dari Jawa, Indonesia yang digunakan secara meluas oleh orang Jawa, Sunda, dan kemudian, juga oleh pelayar Peguan dan Melayu) sebenarnya adalah Foochow Pole Junk (sejenis kapal kargo) dari China. – MalaysiaGazette