Foto Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Al-Sultan Abdullah yang dikongsi di Facebook Istana Negara.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah buat kali terakhir bagi mesyuarat pra-Kabinet di Istana Negara, hari ini.

Menurut Facebook rasmi Istana Negara, Al-Sultan Abdullah menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari ini.

Foto: Facebook Istana Negara

“Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mesyuarat Pra-Kabinet di Istana Negara, petang hari ini.

“Sesi mesyuarat Pra-Kabinet itu juga cukup istimewa buat kedua-dua pemimpin, khususnya kepada Seri Paduka Baginda, kerana ia merupakan kali yang terakhir sebelum Seri Paduka Baginda menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari 2024 kelak,” katanya.

Turut hadir pada sesi hari ini, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Foto: FB Istana Negara

Menurutnya, sejak menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah telah berkenan berangkat menghadiri mesyuarat pra-Kabinet sebanyak 160 kali termasuk sesi hari ini.

Sesi itu melibatkan empat Perdana Menteri termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan mesyuarat Pra-Kabinet pertama baginda adalah pada 13 Februari 2019.

Mesyuarat Pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Seri Paduka Baginda untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan kerajaan. – MalaysiaGazette