Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin kesal dengan kejatuhan ringgit yang jatuh ke paras terendah dalam 26 tahun.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mendakwa setakat ini beliau tidak nampak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu untuk memberikan penyelesaian tuntas kepada permasalahan rakyat yang kian meruncing ketika ini.

“Walaupun kerajaan berbangga dengan kadar inflasi yang menurun, ia tidak membawa apa-apa makna kerana penurunan kadar inflasi adalah disebabkan oleh permintaan yang lemah dan kuasa beli rakyat yang semakin menurun.

“Sudah lebih setahun Kerajaan Madani memerintah, kehidupan rakyat semakin sukar. Setakat ini, saya tidak nampak Perdana Menteri mampu untuk memberikan penyelesaian yang tuntas kepada permasalahan rakyat yang kian meruncing ini.

“Beliau (Anwar Ibrahim) nampaknya lebih sibuk memastikan musuh-musuh politik ditindas daripada menumpukan kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Muhyiddin merujuk kepada nilai ringgit jatuh ke paras terendah dalam 26 tahun iaitu 4.728 berbanding dollar Amerika Syarikat (AS).

Pada masa sama, katanya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun lalu hanya berkembang pada kadar 3.8 peratus, gagal mencapai sasaran empat hingga lima peratus seperti diunjurkan sebelum ini.

Muhyiddin turut berkata, jumlah dagangan Malaysia juga terus menjunam pada Disember lalu apabila merekodkan kemerosotan untuk bulan ke-10 berturut-turut sejak Mac 2023.

Katanya, jumlah dagangan negara pada Disember 2023 menurun 4.3 peratus kepada RM225.1 bilion berbanding RM231 bilion pada tahun sebelumnya.

“Sementara itu, bermula pada tahun ini rakyat akan semakin terbeban dengan kenaikan cukai SST dan cukai-cukai baharu seperti Cukai Barangan Bernilai Tinggi pada kadar antara lima hingga 10 peratus dan Cukai Barangan Bernilai Rendah yang dijual di atas talian pada kadar 10 peratus.

“Ini tidak termasuk kenaikan tarif elektrik bermula Januari 2024 dan penarikan balik subsidi pukal yang akan dilaksanakan pada tahun ini. Semua ini pastinya akan memberi kesan langsung kepada peningkatan kos sara hidup rakyat,” kata Muhyiddin lagi.

ahmad fadhli shaari
Ahmad Fadhli Shaari

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari secara sinis mengaitkan tatakelola kerajaan dalam situasi nilai ringgit jatuh.

Soal beliau, apa sudah jadi dengan tatakelola kerajaan bagi menangani kejatuhan ringgit pada paras terendah iaitu 4.728 berbanding dollar Amerika Syarikat (AS).

“Apa yang pasti, jika ini berlaku sebelum era kerajaan sekarang, pasti akan bertempiklah seantero alam mereka yang kononnya pakar formula ekonomi dan pakar reformasi.

“Sekarang, tatakelola sudah ke laut. Jangan bimbang katanya, bukan semua rakyat Malaysia shopping di New York!” katanya.

Ringgit ditutup rendah semalam seiring mata wang negara pesat membangun yang lain, berikutan pelabur memilih dolar AS didorong oleh kebimbangan terhadap prospek ekonomi global dan menjelang penerbitan data AS lewat minggu ini yang mungkin mempengaruhi prospek kadar faedah AS.

Laporan itu berkata, setakat 6 petang, ringgit diniagakan rendah turun kepada 4.7280/7335 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.7160/7210 pada Jumaat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Dah masing2 berebut nk jd pm macamana nk fokus bangunkan ekonomi negara.. mn ada pelabur nk melabur kalu negara trsbt tak stabil..

Comments are closed.