Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd. Puad Zarkashi hadir ke Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta tidak berahsia sangat apabila membuat siasatan dan mendedahkan segera individu yang disiasat.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi berkata, sikap SPRM yang stonewalling atau enggan memberi jawapan kepada pertanyaaan untuk mematikan cerita hanya menimbulkan spekulasi, andaian dan fitnah.

“Dedah sahaja siapa yang disiasat dan kenapa disiasat. Jangan biar rakyat berteka teki. Sebelum ini ada cerita Ketua Setiausaha Negara disiasat. Rupanya palsu setelah SPRM menafikannya.

“Terbaru, viral rumah seorang Tan Sri diserbu oleh SPRM. Tidak didedah siapa Tan Seri tersebut. Kenapa?” tanyanya sambil menambah semasa rumah Datuk Seri Najib Razak digeledah,  Polis Diraja Malaysia ada beratus gambar dan video disiarkan.

Dakwanya, hanya dua media sahaja yang melaporkan Tan Sri tersebut terlibat kontrak perolehan membekal dan mengurus fleet kenderaan kerajaan bernilai RM4.5 billion.

Katanya, sebelum itu, kerajaan di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad telah membuka tender baru setelah konsensi Spanco selama 25 tahun tamat pada bulan Febuari 2019.

Difahamkan syarikat Berjaya-Naza menang tender tersebut dan dapat surat niat (LOI) daripada kerajaan tetapi dibatalkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Namun ia diberi balik kepada Spanco.

Mohd Puad mendakwa Tan Sri yang rumahnya diserbu itu adalah pemilik utama Spanco dan tawaran Spanco sebanyak RM4.5 bilion adalah RM700 juta lebih mahal daripada tawaran Berjaya-Naza.

“Apa pun tahniah SPRM. Cuma kena dedah dengan segera siapa yang disiasat. Jangan ada stonewalling. Segan apa SPRMku,” ujarnya. – MalaysiaGazette