GEORGE TOWN – “Tak salah pun mufti minta maaf kepada artis atau sesiapa sahaja kerana kita manusia biasa tak maksum”.
Demikian ulasan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor berhubung pandangan orang ramai bahawa beliau tidak perlu mohon maaf atas tegurannya terhadap penganjuran ‘Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza’ yang dijadualkan berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil pada Mac depan.
Jelas Wan Salim, bagi pandangan orang ramai teguran beliau sebagai mufti betul dan justeru tidak perlu mohon maaf kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza.
“Ramai komen menyatakan saya tak perlu mohon maaf kepada Siti Nurhaliza kerana menegur beliau secara terbuka dalam isu mengadakan konsert pada tarikh hampir dengan bulan Ramadan.
“Namun sebenarnya tak salah mufti minta maaf kepada artis atau siapa sahaja. Ini kerana kita manusia biasa tak maksum.
“Kita tak boleh yakin bahawa apa yang kita kata betul di sisi Allah SWT. Hanya kita fikir betul, tapi hanya berdasarkan pertimbangan ijtihad kita saja yang boleh betul dan boleh salah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Wan Salim, pada pandangan manusia mufti lebih baik daripada artis namun di sisi Allah SWT mungkin disebaliknya.
“Pada pandangan manusia, mufti lebih baik daripada artis tapi mana kita tahu di sisi Allah jadi sebaliknya. Jadi tak salah minta maaf,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan penyanyi terkemuka tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza nekad meneruskan penganjuran konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza yang dijadualkan berlangsung tiga hari sebelum menyambut bulan Ramadan.
Menerusi kenyataan rasmi syarikat yang turut dinaungi Siti iaitu Yayasan Nurjiwa, pihaknya menjelaskan tujuan utama konsert diadakan untuk mengumpul dana bagi disalurkan kepada mangsa perang di Palestin yang memerlukan bantuan segera.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan teguran Wan Salim agar Siti Nurhaliza menunda konsert solo yang dijadualkan pada 9 Mac depan sebagai menghormati ketibaan bulan Ramadan. – MalaysiaGazette