JOHOR BAHRU – Anak kepada Bella – mangsa yang dipercayai mati dibunuh pernah mengadu ibunya sering dipukul oleh teman lelakinya yang dipanggilnya sebagai uncle.
Kakak Bella, Norisham Samsusah, 36, berkata demikian ekoran reaksi anak saudaranya ketika melihat berita berkenaan ibunya di televisyen hari ini.
“Dia tanya mana mami? Uncle dulu selalu pukul mami? Uncle dulu selalu marah mami, dia tanya kenapa mami keluar kat televisyen, mami keluar dengan uncle, uncle dah kena tangkap.
“Umi kenapa mami tak balik? Uncle selalu pukul mami. Itu antara yang anak dia beritahu kami,” kata Norisham.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di luar perkarangan Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini hari ini.
Menurutnya, adiknya baru sahaja menjalinkan hubungan bersama suspek yang didakwa di mahkamah hari ini dalam tempoh tujuh bulan kebelakangan ini.
Sebelum ini, menurutnya, adiknya itu ada melahirkan hasrat untuk tinggal bersamanya namun tidak kesampaian.
Mengakui belum reda dengan pemergian adiknya memandangkan kematian itu amat tragis untuk diterima keluarganya.
Bagaimanapun beliau tetap bersyukur kerana jenazah Bella sudah ditemui dan berharap keadilan berpihak kepada mereka.
Keluarga wanita ibu tunggal itu kelihatan sebak sebaik melangkah masuk di jabatan forensik hospital berkenaan.
Selain Norisham, turut kelihatan di jabatan forensik HSI adalah ibu Bella, Noraini Salleh, 55, abang ipar Bella, Mohd Fairuzizan Yusak selain ahli keluarga terdekat.
Bagaimanapun suasana di perkarangan jabatan forensik HSI lebih tenang berbanding di Mahkamah Majistret Batu Pahat pagi tadi ekoran emosi keluarga mangsa ketika melihat suspek utama membabitkan kes kematian adiknya itu hadir bagi menghadapi pertuduhan.
Pagi tadi, suspek utama yang difahamkan teman lelaki Bella yang merupakan seorang bekas posmen dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat atas pertuduhan membunuh Bella – ibu tunggal dua anak atau nama sebenarnya Mila Sharmilah Samsusah, 32, pada hujung tahun lalu.
Tertuduh, Mohammad Haikal Mahfuz, 24, hanya mengangkuk faham sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Norasidah A. Rahman.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Mohammad Haikal didakwa membunuh Mila Sharmilah antara 11 malam 14 Disember hingga 5.30 pagi 15 Disember 2023.
Perbuatan itu didakwa dilakukan lelaki itu di antara Jalan Kelapa Bali, Taman Soga sehingga Jalan Parit Besar, Kampung Parit Besar dan sebuah rumah terbiar di Lorong Imam Jailani, Jalan Besar, Tongkang Pechah di sini.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukan hukuman mati atau pemenjaraan tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dikenakan hukuman mati boleh dikenakan 12 sebatan, sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Khalijah Khalid manakala tertuduh diwakili peguam, Syahril Anuar.
Mahkamah menetapkan 19 Februari depan sebagai sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.
Ibu tunggal dua anak itu dilaporkan hilang pada 14 Disember tahun lalu selepas ahli keluarganya gagal menghubunginya sebelum membuat dua laporan polis pada 16 dan 18 Disember tahun lalu.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: