Tertuduh dijatuhi hukuman 12 bulan penjara selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan menyamun seorang wanita dan menyamar sebagai pegawai kanan polis, tahun lalu.

MELAKA – Seorang banduan dijatuhi hukuman 12 bulan penjara selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan menyamun seorang wanita dan menyamar sebagai pegawai kanan polis tahun lalu.

Majistret Khairunnisak Hassni menjatuhkan hukuman itu terhadap Callixto S Arambala, 36, selepas membuat pengakuan bersalah sebaik tiga pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut dua pertuduhan dibawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan (KK), tertuduh didapati mencuri dua buah telefon bimbit bernilai RM850 serta dompet mengandungi wang RM40 serta dua keping kad bank milik seorang wanita berusia 25 tahun.

Sabit kesalahan, tertuduh yang berasal dari Sabah boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.

Tertuduh turut didapati melarikan kenderaan jenis Toyota Vios milik wanita sama yang boleh dipenjara antara satu hingga tujuh tahun dan hendaklah juga dikenakan denda mengikut Seksyen 379A kanun sama.

Selain itu, tertuduh turut mengaku bersalah menyamar sebagai pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan dan didakwa mengikut Seksyen 170 KK yang boleh dipenjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu dalam prosiding sama, tertuduh mengaku tidak bersalah melakukan kekerasan jenayah dengan mencabul kehormatan wanita berkenaan dan didakwa mengikut Seksyen 354 KK.

Sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat mahupun mana-mana dua daripada hukuman itu.

Terdahulu di Mahkamah Sesyen, tertuduh mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam atas dua pertuduhan merogol dan satu pertuduhan melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan serta Seksyen 377C dan boleh dipenjara antara lima hingga 20 tahun dan sebatan.

Kesemua kesalahan berkenaan dilakukan terhadap mangsa sama pada 17 dan 18 September 2023 lalu di sebuah bilik hotel di Melaka Tengah, Melaka.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar dan Rashidah Baharom manakala tertuduh yang sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan menyamar anggota polis sebelum ini tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan kesemua kes berkenaan disebut semula pada 19 Mac bagi serahan dokumen dan lantikan peguam. – MalaysiaGazette