PUTRAJAYA – Himpunan Selamatkan Rakyat di Istana Negara di sini semalam sudah melanggar garis merah dan kertas pertuduhan akan dibawa kepada Peguam Negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia kerana perhimpunan berkenaan sudah melampaui batas.
“Kalau ada lagi pihak mengatakan kebebasan bersuara disekat, kerajaan takut, tiada manusia yang akan percaya kerana mereka bebas buat perhimpunan.
“Apabila disiasat dipanggil lebih kepada memberi teguran dan nasihat.
“Apabila ia sudah melampaui batas, seumpama mengheret nama institusi istana, itu sudah sampai garis merah. Saya percaya pihak polis akan mengambil tindakan dengan sewajarnya,” katanya pada sidang media khasnya di sini hari ini.
Menurut Saifuddin, Kerajaan Perpaduan tidak pernah menghalang mana-mana pihak untuk menganjur mahu pun mengambil bahagian dalam perhimpunan aman di negara ini.
Menurutnya, ini kerana ada 78 himpunan yang dibenarkan sepanjang pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
“Sangkaan yang menyebut bahawa kerajaan menghalang himpunan dan sebagainya tidak betul sama sekali. Kita tengok statistik perhimpunan awam sepanjang 2023 kerana ini masa dan ketika Kerajaan Perpaduan ini memegang teraju.
“Jumlah perhimpunan aman iaitu sebanyak 78 sepanjang 2023,” katanya.
Tambah Saifuddin, walaupun ada di antara penganjur himpunan itu dipanggil untuk memberi keterangan namun tiada satu pun didakwa.
“Perlis tiada langsung, Kedah ada satu, di Pulau Pinang (15), kertas siasatan (IP) juga 15 dibuka di Pulau Pinang tapi tiada dibawa sampai pertuduhan.
“Perak ada sembilan, IP juga dibuka sembilan, tiada yang berakhir dengan pertuduhan.
“Selangor ada lapan, lapan IP dibuka, tiada berakhir dengan pertuduhan, Kuala Lumpur ada 19, tiada pertuduhan.
“Sebab pendekatan polis adalah panggil, bagi nasihat, bagi tahu kat mana kamu berlaku pelanggaran,” katanya lagi. – MalaysiaGazette