Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor selepas hadir bagi dua kes menyebut perkataan menghasut di Mahkamah Sesyen Selayang untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 24 JANUARI 2024.

SHAH ALAM – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa isu dakwaan rasuah berkait persatuan boleh sepak negeri hanya rekaan.

Menurut beliau, isu Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) direka untuk menekan dirinya dan memberi persepsi negatif terhadap kerajaan tersebut.

Beliau berkata, dakwaan tersebut tidak berasas dan tidak berdasarkan undang-undang.

“Tidak ada isu dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sudah selesai saya sudah beri keterangan isu itu pun direka-reka sahaja. Digunakan alat kerajaan untuk tekan saya tekan kerajaan negeri Kedah semua orang tahu ini kerja madanon bukan ada isu apa, tidak ada isu undang-undang tidak ada asas isu SPRM tapi dibuat juga.

“Berhentilah main politik begitu berhentilah berpolitik secara gentleman. Tidak payah guna agensi untuk tekan orang semua orang tahu lambat laun orang akan nilai,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu.

Pada 11 Januari lalu, Muhammad Sanusi hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya dipercayai memberi keterangan berkaitan dakwaan rasuah lebih RM6 juta yang dikaitkan dengan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Dilaporkan siasatan dilakukan selepas suruhanjaya itu menerima laporan daripada kontraktor yang sebelum ini dijanjikan memperoleh projek di Kedah jika menyalurkan dana ke akaun persatuan bola sepak negeri itu.

Berdasarkan siasatan, terdapat individu penting berjawatan tinggi dalam kerajaan negeri dan persatuan bola sepak itu berjanji akan memberikan projek pembinaan serta perkhidmatan sebagai balasan kepada kontraktor yang menyumbang dana.

Sebelum ini, seramai empat  individu ditahan reman bagi membantu siasatan dalam kes meminta dan menerima rasuah lebih RM6 juta pada 2020.-MalaysiaGazette