Poster Netflix ‘Man On The Run’

PUTRAJAYA – Permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk kerajaan mengarahkan Netflix menurunkan serta melarang tayangan dokumentari Man On The Run akan diserahkan kepada budi bicara mahkamah.

Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Fadzil menjelaskan, perkara itu berdasarkan nasihat yang diterima dari Ketua Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Salleh dan bahagian undang-undang kementerian serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

“Secara faktanya filem tersebut ditayangkan di pawagam pada Oktober tahun lalu dan pada waktu itu Lembaga Penapisan Filem (LPF) beri kelulusan dan tak berlaku isu sewaktu ditayangkan di khalayak umum pada Oktober tahun lalu.

“Memandangkan ini perkara yang telah dizahirkan dalam mahkamah maka kita perlu rujuk sebarang perkara kepada mahkamah, kita tak boleh dahului proses dan serah pada mahkamah,” katanya dalam sidang media di sini petang ini.

Pada 12 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan sepenuhnya kepada Kementerian Komunikasi berhubung permohonan Najib supaya filem dokumentari yang sama dikeluarkan daripada aplikasi Netflix.

Anwar berkata, perkara berhubung permohonan itu akan diteliti dan dipertimbangkan oleh Kementerian Komunikasi.

Baru-baru ini, peguam Najib memohon supaya kerajaan mengarahkan perkhidmatan aplikasi penstriman itu supaya menurunkan serta melarang tayangan dokumentari berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu.

Tetuan Shafee & Co mendakwa dokumentari itu, yang ditulis serta diarahkan oleh Cassius Michael Kim, bersifat subjudis dan memudaratkan pembelaan Najib dalam perbicaraan kes 1MDB yang masih berjalan. – MalaysiaGazette