Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah diarahkan untuk menarik semula larangan penjualan minuman beralkohol selama tiga hari sempena perayaan Thaipusam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jason H’ng Mooi Lye berkata, pihaknya mendapati notis larangan itu tidak relevan untuk 51 premis selain menerima aduan daripada puluhan pengusaha restoran.

Jelasnya, notis larangan penjualan minuman alkohol itu sebelum ini hanya dipraktikkan ke atas lima premis di sekitar Jalan Gottlieb hingga ke Jalan Kebun Bunga berdasarkan pandangan serta nasihat pihak polis.

Jason.

“Saya hanya mengetahui mengenai larangan tersebut petang semalam selepas mendapati aduan daripada puluhan pengusaha khsususnya restoran makanan yang mempertikaikan tindakan tersebut memandangkan premis mereka turut dikunjungi pelancong luar negara.

“Jadi setelah meneliti perkara tersebut, saya dapati larangan tambahan ke atas 51 premis itu tidak berasas dan telah mengarahkan MBPP menarik semula larangan tersebut serta-merta,” katanya pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) hari ini.

Tambah Jason, pihaknya juga menetapkan segala larangan penjualan minuman alkohol yang dikeluarkan MBPP selepas ini perlu melalui perbincangan serta persetujuan daripada mesyuarat Exco.

Rajendran.

Sementara itu, Datuk Bandar MBPP, Datuk Ir A. Rajendran berkata, pihaknya telah mengeluarkan notis larangan tersebut ke atas 56 premis di sepanjang laluan perarakan pedati untuk tempoh tiga hari bermula 24 hingga 26 Januari.

“Notis itu diberikan kepada pemilik premis pada 22 Januari lalu namun, kini kita dapati larangan itu tidak perlu dibuat ke atas premis di luar laluan utama Jalan Kebun Bunga.

“Ketika ini pasukan MBPP berada di lapangan bagi menarik semula notis ke atas 51 premis yang dikenal pasti ia termasuk di Jalan Datuk Keramat, Jalan Magazine serta Lebuh Victoria,” katanya.

Terdahulu sebuah portal melaporkan beberapa pengusaha restoran dan bar meluahkan rasa tidak puas hati dengan notis larangan tersebut yang dianggap menjejaskan operasi perniagaan mereka selain premis mereka terletak agak jauh daripada kuil di Kebun Bunga. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast