KUALA LUMPUR – Hasrat rakyat dan kepimpinan Malaysia agar Palestin diterima sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan gesaan gencatan senjata telah disampaikan sendiri oleh Menteri Luar Negeri kepada Setiausaha Agung PBB di New York, Amerika Syarikat pada 23 Januari lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, gesaan Malaysia seiring dengan kenyataan Antonio Gutteres di Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali di Kampala, Uganda bahawa hak Palestin untuk membina sebuah negara merdeka tidak boleh dinafikan.
“Keamanan dan kedamaian hanya dapat dicapai dan dipertahan jika hak sebenar dikembalikan kepada yang berhak. Jika penindasan, kekerasan, rampasan hak, dan dasar aparteid dibenar berleluasa nescaya tiada suatu noktah yang selamat dalam kehidupan,” katanya dalam kenyataan di media sosialnya.
Menurut Anwar, pasti suatu hari, sekarang atau di masa hadapan, mereka yang tertindas dan dinafikan segala hak akan bangkit menentang ketidakadilan sebegini.
Malaysia, katanya, kekal dengan pendirian berprinsip yakni Palestin berhak mendapat hak membentuk sebuah negara yang merdeka dan berdaulat berdasar garis sempadan pra-1967 dengan Baitul Maqdis sebagai ibu kota. – MalaysiaGazette