Seorang pekerja kebun kelapa sawit dibawa oleh pegawai SPRM bagi menghadapi 20 pertuduhan rasuah RM370,000 ketika di Mahkamah Sesyen Jenayah 2, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 24 JANUARI 2024.

SHAH ALAM – Seorang pekerja kebun kelapa sawit mengaku tidak bersalah terhadap 20 pertuduhan mengemukakan invois tuntutan bayaran Kerja Perkhidmatan Pembersihan Bangunan Dan Pejabat Dan Membersih Kawasan Dan Menyelenggara Landskap Serta Kerja Kerja Berkaitan yang mengandungi butiran palsu.

Berdasarkan kertas tuduhan, Ahmad Alfiz Md Muklas,37, pada tahun 2020 sehingga 2022 memperdaya Pembantu Tadbir (Kewangan) Gred W19 Institut Latihan dan Dakwah Selangor (ILDAS) dengan mengemukakan 20 invois Sabak Jati Enterprise bagi tuntutan bayaran yang mengandungi butir matan palsu.

Semua invois tuntutan bernilai RM370,000.

Tertuduh melakukan kesalahan di bawah seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).

Hakim Mahkamah Sesyen, Awang Kerisnada Awang Mahmud kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM11,000 dan tertuduh turut diperintah melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali selain diarah menyerahkan pasport antarabangsa.

Sementara itu, sebutan kes ditetapkan pada 21 Mac 2023.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya bagi kes berkenaan diwakili oleh Muaz Ahmad Khairuddin.

Manakala tertuduh diwakili oleh peguam Mohd Baharuddin Ahmad Kassim.- MalaysiaGazette