Bangunan Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 25 JULAI 2019

SHAH ALAM – Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berdepan dengan dua tuduhan menerima suapan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Norzuriati Zainol Rashid, 44, didakwa menerima suapan sebagai balasan mengesyorkan dua buah syarikat yang mempunyai kaitan dengan suaminya bagi melaksanakan  projek Cadangan Perkhidmatan ICT Bagi Kerja-Kerja Penyelenggaraan dan Sokongan Sistem Pengurusan Latihan (E-Latihan).

Berdasarkan pertuduhan, Norzuriati pada 12 September 2019 dan 24 April 2020 yang juga Ahli Jawatankuasa Teknikal LLM  menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan bagi tender bernilai RM98,900 dan RM212,500 sebagai balasan mengesyorkan dua buah syarikat.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun.

Dalam masa yang sama, jika sabut kesalahan,  beliau boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10, 000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Dalam masa yang sama, suaminya, Syed Rosdi Syed Mohd, 46,  turut berhadapan dengan dua tuduhan bersubahat dengan isterinya untuk mendapatkan suapan.

Syed Rosdi dipercayai melakukan kesalahan di bawah seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] dan dibaca bersama seksyen 23(1) akta yang sama.

Beliau boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan sekiranya didapati bersalah.

Pasangan berkenaan bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Hakim, Awang Krisnada Awang Mahmud  kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM35,000 kepada Norzuriati.

Manakala suaminya diperintah membayar ikat jamin sebanyak  RM20,000.

Dalam pada itu, mahkamah menetapkan 21 Mac 2023 sebagai tarikh sebutan kes.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya bagi kes tersebut adalah Muaz Ahmad Khairuddin.

Manakala kedua-dua tertuduh diwakili oleh peguam Mohd Baharuddin Ahmad Kassim. – MalaysiaGazette