Seorang pesara JKR Ipoh, Ahmad Zainuddin Bontak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan memperdayakan mangsa menyerahkan wang sebanyak RM 30,000 pada 12 tahun lalu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 24 JANUARI 2024.

IPOH – Seorang pesara Jabatan Kerja Raya (JKR) didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana memperdaya seorang ahli perniagaan dengan mendorong beliau menyerahkan wang bagi membantu permohonan permit kerja bahan batuan yang tidak wujud 12 tahun lalu.

Tertuduh, Ahmad Zainuddin Bontak, 65, mengaku bersalah sebaik sahaja mendengar pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Ahmad Kamar Jamaludin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang pada ketika itu Pembantu Awam H11 cawangan mekanikal JKR Ipoh didakwa telah memperdaya seorang ahli perniagaan berusia, 52, dengan mendorong beliau untuk menyerahkan wang sebanyak RM30,000 bagi membantu permohonan permit kerja bahan batuan pasir sedangkan tiada permohonan permit kerja bahan batuan pasir dilakukan tertuduh.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah restoran di Jalan Tambun, Sunway City pada 19 Oktober 2012.

Berikutan itu, tertuduh melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 417 akta yang sama.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM30, 000 dan gagal bayar dipenjara tiga bulan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Maziyah Mansor manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh kemudian membayar denda berkenaan. – MalaysiaGazette