Ab Rauf Yusoh

MELAKA – Tarif air baharu untuk pengguna domestik di Melaka dinaikkan dengan purata 16 sen per meter padu atau 13.9 peratus berkuat kuasa 1 Februari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf berkata, kenaikan selepas 13 tahun melibatkan 297,000 akaun domestik itu bagaimanapun menyaksikan Melaka adalah negeri keempat terendah berbanding negeri-negeri lain.

Menurutnya, penyelarasan tarif baharu itu tidak dapat dielakkan ekoran kos operasi dan penyelenggaraan yang terpaksa ditanggung Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) mencecah RM290 juta setiap tahun.

“Meskipun tarif air dinaikkan sebanyak 27 sen setiap meter padu bagi penggunaan dari 0 hingga 20 meter padu, ia tidak akan menjejaskan sejumlah 150,000 pengguna akaun domestik yang berhemah.

“Seramai 81,000 pengguna akaun domestik atau 27 peratus pengguna biasa dijangka akan mengalami kenaikan bil air bulanan secara purata hingga RM13.95 sebulan bagi penggunaan dari 21 hingga 35 meter padu

“Bagi 66,000 akaun pengguna lebih 35 meter padu, mereka akan menerima kenaikan bil air lebih tinggi disebabkan konsep tarif punitif yang diguna pakai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabat Ketua Menteri, di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, kali terlahir pelarasan tarif domestik dilaksanakan di negeri ini pada April 2011 dan kenaikan selepas 13 tahun itu akan digunakan sebaiknya oleh SAMB.

“Hasil daripada pendapatan tambahan ini akan digunakan SAMB bagi membiayai projek-projek menaik taraf dan penambahbaikan sistem perkhidmatan bekalan di Melaka,” katanya – MalaysiaGazette