Mohammad Haikal Mahfuz didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat di sini hari ini atas dakwaan membunuh wanita itu di Tongkang Pechah pada Disember 2023.

BATU PAHAT – Teman lelaki Bella didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat di sini hari ini atas pertuduhan membunuh ibu tunggal itu di Tongkang Pechah di sini pada Disember tahun lepas.

Tertuduh, Mohammad Haikal Mahfuz, 25, hadir di mahkamah dengan mengenakan pakaian kurta mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norasidah A. Rahman.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohammad Haikal yang bekerja sebagai posmen didakwa membunuh Bella atau nama sebenarnya Mila Sharmilah Samsusah, 32, antara 11 malam 14 Disember 2023 hingga 5.30 pagi 15 Disember 2023 di antara Jalan Kelapa Bali, Taman Soga sehingga Jalan Parit Besar, Kampung Parit Besar, dan juga di sebuah rumah terbiar di Lorong Imam Jailani, Jalan Besar, Tongkang Pechah di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun dan sekiranya tidak dihukum mati, hendaklah juga dihukum dengan minimum 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Khalijah Khalid manakala tertuduh diwakili peguam, Syahril Anuar.

Mahkamah menetapkan 19 Februari ini ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia.

Terdahulu, selain keluarga tertuduh, ahli keluarga Bella turut hadir di mahkamah seawal kira-kira 7.45 pagi bagi mendengar prosiding itu.

Pada Jumaat lepas, polis menemukan rangka manusia tidak lengkap di sebuah rumah terbiar di Lorong Imam Jailani di sini selepas dipandu arah oleh seorang daripada suspek utama kes kehilangan ibu tunggal anak dua itu.

Pada 14 Disember tahun lepas, Bella dilaporkan keluar rumah menaiki kereta teman lelakinya pada 11.50 malam dengan hanya memakai baju kelawar berwarna biru gelap untuk mencuci pakaian di kedai dobi berhampiran dan gagal dihubungi sejak itu. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Suspek utama kes Bella dikawal ketat di mahkamah