Kenderaan-kenderaan mangsa yang disimbah cat merah dalam kejadian di di Taman Selaseh, Fasa 2, dekat Batu Caves hari ini. Gambar: Ihsan PDRM

KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan suspek bagi membantu siasatan berhubung kes simbah cat membabitkan dua buah pagar rumah dan tiga buah kenderaan dalam kejadian di Taman Selaseh, Fasa 2, dekat Batu Caves hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang membuat laporan kenderaannya jenis Proton Iriz telah disimbah cat.

Nota yang ditinggalkan ah long kepada jiran-jiran,

Susulan laporan itu, polis telah menjalankan siasatan di tempat kejadian dan mendapati dua buah pagar rumah dan tiga kereta – Proton Iriz, Proton Persona dan Perodua Myvi telah disimbah cat merah.

“Perbuatan ini ditujukan kepada salah sebuah rumah di jalan yang sama.

“Kejadian dipercayai dilakukan oleh pemberi pinjam wang tanpa lesen (ah long) berdasarkan penemuan sehelai nota berunsur ugutan jenayah yang ditujukan kepada penghuni rumah tersebut supaya melangsaikan hutang,” katanya dalam kenyataan.

Noor Ariffin memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan.

Katanya, aduan tersebut juga boleh dibuat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Insp. Ahmad Irwan Mohammad ditalian 019-5712477 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di nombor 03-61262222. – MalaysiaGazette