GAZA CITY – Tentera Israel dilaporkan meningkatkan serangan di Khan Younis di selatan Gaza yang menjadi tumpuan penduduk yang melarikan diri dari utara dan tengah wilayah Palestin itu.
Sebuah pusat pelindungan pelarian kendalian Agensi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) dilaporkan telah dibom oleh tentera zionis.
Sekurang-kurangnya 9 orang terbunuh dan 75 orang cedera dalam serangan ke atas pusat vokasional yang telah berfungsi sebagai tempat perlindungan untuk kira-kira 800 orang yang kehilangan tempat tinggal.
Sementara itu Al Jazeera melaporkan, tentera zionis juga melakukan serangan ke atas pejabat Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) dan Hospital El Amal.
Serangan Israel membunuh tiga orang awam Palestin yang berlindung di ibu pejabat PRCS semalam, manakala pegawai PRCS Nebal Farsakh berkata, terdapat “sasaran sistematik” ke atas organisasi itu oleh tentera Israel.
Media turut melaporkan tentera Israel kini berada di dalam Hospital Al Khair dan turut mengepung Hospital Nasser dan Hospital Al-Aqsa.
Di Hospital Nasser, Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) melaporkan bahawa “tiada sesiapa boleh masuk atau keluar” disebabkan pengeboman berdekatan.
Kakitangan kesihatan hospital dilaporkan menggali kubur di kawasan pusat kesihatan itu kerana jumlah kematian yang besar dijangka dan keperluan untuk menguruskan pengebumian.
Setiausaha Agung Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) berkata Jagan Chapagain berkata, tindakan Israel dijangka menyebabkan lebih banyak kematian.
“Saya sangat bimbang tentang keselamatan kakitangan dan sukarelawan @PalestineRCS kami,” tulisnya di X. – Agensi